Pesara wanita putih mata RM187k lesap ditipu panggilan palsu SPRM, polis


shadow

Seorang pesara wanita berputih mata apabila wang RM187,000 kepunyaannya lesap selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa beliau terlibat kes pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya AA Anbalagan berkata wanita berusia 56 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 9.25 pagi Rabu lepas.

“Mangsa pada mulanya menafikan tuduhan terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah sebelum panggilan tersebut kononnya disambungkan ke Bukit Aman. Mangsa kemudiannnya bercakap dengan seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis, ASP Fahmi.

“Pegawai polis palsu itu turut memaklumkan mangsa terlibat dalam kegiatan itu dan boleh ditangkap. Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa mengosongkan semua wang yang terdapat dalam akaun bank miliknya dan memindahkan ke akaun diberi oleh lelaki itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang takut ditahan mengikut arahan diberikan lelaki itu dengan memasukkan wang sebanyak RM50,000 ke dalam satu akaun atas nama seorang lelaki.”Mangsa kemudian diarah memasukkan wang sebanyak RM29,700 ke dalam akaun seorang wanita dan seterusnya RM20,100 serta RM29,000 ke akaun dua lelaki berasingan,” katanya.

Anbalagan berkata suspek seterusnya mengarahkan mangsa memindahkan lagi wang yang ada sebelum wanita itu memasukkan wang ke dalam dua akaun berasingan iaitu sebanyak RM8,200 dan RM50,000.

“Mangsa kemudian diminta untuk membuat beberapa pemindahan lagi, namun dia mengesyaki telah ditipu dan membuat laporan polis semalam. Ekoran kejadian itu, mangsa kehilangan sebanyak RM187,000 dan gagal menghubungi semula lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik-pemilik akaun yang digunakan sindiket Macau Scam itu dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

– Bernama

Tinggalkan komen anda