Penganjur Kongres Jawi jemput peserta protes turut serta


shadow

NGO Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) meneruskan penganjuran Kongres Jawi di Petaling Jaya hari ini, malah turut mempelawa pihak yang membantah acara itu turut serta bersama mereka.

Setiausaha Sekat Arun Doraisamy mengotakan janjinya apabila mengiringi beberapa wakil dari NGO Melayu, Gelombang Rakyat Malaysia ke dalam dewan, yang diketuai presidennya, pelakon Ellie Suriati Omar.

Ketibaan mereka menyebabkan kejutan di dalam dewan apabila aktivis Siti Kasim, yang berucap pada masa itu, menyedari kehadiran mereka tetapi meneruskan ucapannya.

Arun membawa mereka duduk di meja di tepi dewan dan mengambil masa untuk menyantuni Ellie, sambil masing-masing dilihat melemparkan senyuman.Iklan

Ellie berkata beliau akan bertemu dengan Arun semula selepas kongres itu.

Terdahulu Arun bercakap kepada pemberita bahawa beliau secara peribadi mempelawa mana-mana pihak yang membantah untuk bercakap di hadapan kira-kira 400 tetamu yang hadir.

“Jika mereka melakukan protes di luar, siapa pun mereka, saya tidak pasti dari kumpulan mana … Jika ya, maka pasti saya akan menyambut mereka ke dewan dan memberi ruang mereka untuk bercakap, “katanya ketika ditemui sejurus sebelum kongres itu bermula.

“Kami sudah bersedia. Saya beritahu polis perkara yang sama juga.

Kongres hari ini diadakan sehari selepas kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong mematuhi perintah mahkamah, yang diperolehi oleh polis Kajang, untuk membatalkan kongres mereka bagi membincangkan bantahan terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat.

Sebuah NGO Melayu-Islam semalam memberi amaran terhadap kumpulan berkenaan agar tidak meneruskan perjumpaan mereka hari ini.

Ditanya mengenai kehadiran anggota Rela yang mengawal keselamatan di luar pintu masuk dewan, Arun berkata mereka ditempatkan atas permintaan penganjur, berdasarkan nasihat daripada pihak polis.

“Selepas perbincangan dengan Ibu Pejabat Polis (IPD) PJ,  berdasarkan nasihat mereka..kami mahu memastikan segala-galanya berjalan lancar,” katanya.

Antara tetamu yang hadir termasuk Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon; Ahli Jawatankuasa Pusat Ikram, Zaid Kamarudin dan juga wakil-wakil dari Sarawak.

Turut dilihat di kalangan kira-kira 400 tetamu yang hadir ialah wakil-wakil dari sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Kongres yang dijadual berlangsung selama dua jam itu akan menampilkan ahli panel yang terdiri daripada, antara lain, aktivis Siti Kasim dan ahli akademik Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi.

Kanak-kanak tak dibenarkan masuk

Sementara itu ibu bapa tidak dibenarkan membawa anak-anak mereka di bawah umur 18 tahun masuk ke dewan.

Salah seorang penganjur, Kumaran Marimuthu berkata peraturan itu ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Ini apa yang polis beritahu kami (penganjur), kanak-kanak tidak dibenarkan masuk,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di kongres tersebut.

Kumaran yang bersetuju dengan penetapan tersebut berkata kongres itu diadakan melibatkan ‘orang dewasa’ dan tidak seharusnya melibatkan kanak-kanak.

“Ibu-bapa kena sedar, ini hal orang tua, kita bincang isu besar. Kanak-kanak memang tidak perlu dibawa hari ini sebenarnya,” katanya. 

Tinggalkan komen anda