Pejabat Chin Tong buat laporan polis terhadap Raja Petra


shadow

PEJABAT Liew Chin Tong membuat satu laporan polis terhadap penulis blog Raja Petra Kamaruddin kerana mendakwa timbalan menteri pertahanan terlibat membawa masuk abu mayat bekas pemimpin komunis Chin Peng, lapor Bernama.

Laporan dibuat oleh pegawai medianya Izmil Amri Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi tadi.

“Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan berkemungkinan mempertimbangkan untuk mengemukakan tindakan saman sivil selepas berbincang dengan peguam,” katanya kepada wartawan.

Laporan polis itu dibuat berhubung satu tulisan Raja Petra di portal Malaysia Today dengan tajuk “The Fake Ashes Of Chin Peng”.

Tulisan itu menuduh Liew adalah dalang yang merancang menyeludup masuk abu mayat Chin Peng sebulan sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Menurut Izmil, fitnah oleh Raja Petra itu bertujuan mengalihkan tumpuan umum daripada isu utama minggu ini termasuk pembentangan Kertas Putih Pertahanan serta perbicaraan kes salah guna kuasa melibatkan dua bekas menteri pertahanan.

Beliau merujuk kepada pertuduhan jenayah ke atas Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.

Kertas Putih itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Jelas Izmil, Liew tidak pernah membuat sebarang komen berkenaan isu abu mayat Chin Peng.

Baru-baru ini media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk ke Malaysia pada 16 September lepas dan ditabur di laut dekat Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa.

Kejadian itu sedang dalam siasatan polis. 

Tinggalkan komen anda