Pasukan Trump halang Bloomberg News buat liputan kempen


shadow

PASUKAN kempen Presiden Donald Trump semalam mengharamkan wartawan Bloomberg News daripada acara kempen pemilihan presiden, mendakwa wujud “bias” kumpulan media milik pesaing calon pemilihan presiden, Michael Bloomberg.

Brad Parscale, pengurus kempen Trump 2020, berkata keputusan itu dibuat selepas Bloomberg News mengumumkan mereka tidak akan menyiasat bos syarikat itu atau pesaing Demokratnya.

“Sebagai kempen Presiden Trump, kami sudah lali dengan amalan pelaporan tidak adil, tetapi kebanyakan organisasi media tidak mengumumkan bias mereka secara terbuka,” kata Parscale dalam satu kenyataan.

Kempen Trump tidak lagi akan memberikan kebenaran sah hadir majlis kempen kepada Bloomberg News, dan akan memutuskan “sama ada akan berhubung dengan wartawan individu atau menjawab pertanyaan Bloomberg News berdasarkan kes,” tambahnya.

Ketua Pengarang Bloomberg News John Micklethwait mengulas situasi itu dengan berkata: “tuduhan biasa tidak benar sama sekali. Kami membuat liputan kepada Donald Trump dengan adil saksama dan tidak pernah bias sejak beliau menjadi calon pada 2015 dan akan terus berbuat demikian walaupun berdepan kekangan kempen Trump.”

Keputusan Michael Bloomberg untuk mendapatkan pencalonan presiden daripada Demokratik menyebabkan agensi berita itu, salah sebuah terbesar di dunia mengeluarkan garis panduan minggu lepas untuk mengatasi sebarang konflik kepentingan.

Kumpulan media itu berkata mereka tidak akan menyiasat keluarga atau yayasan Bloomberg dan pesaing Demokratiknya, tetapi akan menerbitkan ringkasan siasatan semua calon Demokrat.

Tinggalkan komen anda