Parti Amanah pilih pimpinan baharu esok


shadow

KONVENSYEN Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional 2019 yang bermula esok, selain menjadi medan muhasabah dan pemantapan prestasi, juga buat julung kalinya bakal menyaksikan ahli parti melaksanakan tugas memilih pimpinan baharu, yang akan menentukan hala tuju parti itu.

Dengan kehadiran dijangka seramai 925 perwakilan dari 154 kawasan, konvensyen itu mencuri tumpuan berikutan saingan sengit pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional, selain perwakilan turut akan menghangatkan perhimpunan dengan kritikan dan teguran terhadap pimpinan kerajaan daripada parti itu.

Walaupun hanya ditubuhkan pada 2015, hakikatnya parti itu sudah matang dengan suasana politik tanah air kerana ia serpihan daripada PAS, malah dibuktikan dengan gabungannya bersama Bersatu, PKR dan DAP untuk menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Kerana itu, selain soal pemilihan pimpinan, konvensyen itu juga menjadi tumpuan untuk menilai kekuatan parti itu sebagai sebahagian daripada kerajaan dalam Pakatan Harapan (PH), yang kini telah memasuki tempoh 18 bulan.

Bagi Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof, jika sewaktu awal penubuhan parti itu, ia dianggap parti yang ‘sunyi’ termasuk sewaktu konvensyen tahunan, keadaan itu sudah berbeza dengan pemilihan pimpinan yang dijangka sengit, selain soal kebebasan bersuara untuk mengutarakan pelbagai pandangan.

“Parti Amanah ini mengamalkan kebebasan bersuara, jadi kita boleh tengok paling ekstrem punya cara mengkritik, dengan yang paling lembut punya cara mengkritik. Kami sudah bersedia dengan jangkaan-jangkaan itu,” katanya  kepada Bernama. 

Mengangkat tema ’Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama’ konvensyen kali keempat itu akan berlangsung selama tiga hari di Ideal Convention Centre, Shah Alam, Selangor.  

Pemilihan akan melibatkan masing-masing seorang speaker dan timbalan speaker, dua juruaudit dan 27 Jawatankuasa Pimpinan Nasional bagi tempoh 2019/2022. 

Jawatankuasa Pemilihan Nasional Amanah merekodkan 87 calon tersenarai bagi pemilihan 27 Jawatankuasa Pimpinan Nasional dengan hampir kesemua pemimpin tertinggi parti layak bertanding termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu dan timbalannya Salahuddin Ayub.

Berhubung usul yang akan dibahaskan, secara umumnya ia akan membincangkan tentang manifesto PH, keperluan rakyat dan beberapa isu di peringkat nasional, sementara Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) akan membawa beberapa usul utama.

Antaranya ialah menggesa kerajaan membendung segera penyebaran politik kebencian, kepimpinan wanita untuk semua dan menggesa kerajaan kaji semula situasi kemiskinan di Malaysia.

Mohamad dijadual merasmikan konvensyen itu esok manakala pengumuman keputusan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional akan dibuat pada hari yang sama sebelum diteruskan dengan sesi perbahasan.

Pada Sabtu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional akan mengumumkan keputusan pemilihan pimpinan tertinggi parti, sebelum sesi perbahasan dan membentangan usul diteruskan.

Pada Ahad pula, tumpuan terarah kepada ucapan penggulungan oleh Jawatankuasa Pimpinan Nasional serta ucapan penangguhan Presiden Amanah. 

Pada konvensyen kali ini juga, Sayap Wanita Muda (WARDA), satu-satunya sayap wanita muda dalam PH yang ditubuhkan pada 1 Dis lepas akan hadir dengan status sebagai pemerhati memandangkan ia belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Tinggalkan komen anda