Pakatan peroleh skor ‘sederhana’ Indeks Kepuasan Kerajaan


shadow

PAKATAN Harapan (PH) memperoleh skor “sederhana” 0.53 dalam Indeks Kepuasan Kerajaan (GSI), yang mengukur perasaan pengundi mengenai prestasi Kabinet.

Menurut Pengasas Emir Research Dr Rais Hussin, badan pemikir itu merancang mengeluarkan keputusan GSI pada setiap suku tahun.

“Kami berharap dapat membina analisis siri masa untuk mengesan trend dan kepuasan terhadap dasar kerajaan,” kata Rais di pejabat Emir Research di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut badan pemikir itu, GSI disusun menerusi hasil penemuan kaji selidik pertama yang bertajuk “Dari Akar Umbi: Suara & Harapan Rakyat”.

Menggunakan penemuan ini, ia menggunakan Analisis Faktor Tinjauan (EFA), Analisis Pengukuh (CFA dan Rasch Modeling untuk memperoleh penilaian kepuasan bermula pada 0 untuk kepuasan minimum hingga 1 untuk kepuasan maksimum.

Sebanyak 14 soalan digunakan untuk mengukur tahap populariti pemerintah dengan meminta responden menilai perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri dalam negeri, menteri kewangan, menteri hal ehwal ekonomi, menteri pendidikan dan anggota Kabinet lain.

Kaji selidik Emir Research yang melibatkan 1,992 pengundi dijalankan di 222 kawasan Parlimen dengan margin kesalahan dianggarkan sekitar 3%.

Kaji selidik “Dari Akar Umbi: Suara dan Harapan Rakyat berkenaan Isu Sosioekonomi” dijalankan dari 5 hingga 10 Oktober.

Ini adalah laporan kedua Emir selepas ia mendedahkan hanya 24% rakyat Malaysia berasa kerajaan PH berdaya maju.

Apabila ditanya sama ada Emir Research mempunyai dapatan terhadap menteri secara individu, Ketua Penyelidik Prof Mohamad Sahari Nordin berkata mereka tidak merancang untuk mendedahkannya.

“Kajian kami adalah berdasarkan tahap kepuasan terhadap kerajaan dan bukannya prestasi menteri secara individu.”

Tinggalkan komen anda