Pakaian sukan patuh syariah jadi tumpuan Dewan Negara


shadow

PAKAIAN patuh syariah atlet kembali menjadi topik perbincangan beberapa ahli Dewan Negara hari ini.

Senator Razali Idris berkata walaupun berpakaian patuh syariah sepenuhnya, ini tidak bermakna ia akan menghalang kemampuan sebenar seseorang atlet. 

“Merujuk kes di Terengganu, atlet Azreen Nabila Alias melakar kejayaan bersejarah apabila dinobatkan sebagai ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dan dia memakai pakaian patuh syariah…dan dia berjaya menewaskan atlet tidak menutup aurat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan, hari ini, mengenai keperluan menjadikan Azreen sebagai contoh kepada atlet Islam lain dalam berpakaian.

Sementara itu Sim ketika menjawab soalan asal Senator Lim Pay Hen mengenai justifikasi kementerian dalam memperhalusi pemakaian atlet supaya patuh syariah, menjelaskan tiada paksaan bagi atlet untuk memilih pakaian patuh syariah.

“Jika mewakili negara, atlet perlu ikut apa yang ditetapkan oleh badan induk sukan antarabangsa. Jika pemakaian patuh syariah itu mengikut standard yang ditetapkan oleh badan induk sukan tersebut, kita tiada masalah malah kita sendiri tidak memaksa pemakaian mengikut agama. 

Mengenai soalan tambahan Senator Sabani Mat yang ingin tahu sekiranya kementerian mempunyai perancangan menubuhkan panel penasihat bagi merangka garis panduan sukan patuh syariah dalam negara, Sim berkata buat masa ini tiada lagi perancangan ke arah penubuhan panel sedemikian.

“Ini memandangkan sensitiviti anutan setiap atlet yang menyertai mana-mana kejohanan sentiasa dihormati. Tidak kira di peringkat negeri, kebangsaan malah antarabangsa, kita sentiasa menghormati sensitiviti anutan setiap atlet yang menyertai acara sukan. Jadi tiada keperluan panel tersebut,” katanya.

Tinggalkan komen anda