Najib lafaz sumpah laknat lagi, nafi arah bunuh Altantuya


shadow

RIBUAN jemaah di Masjid Jamek di Kampung Baru hari ini menyaksikan bekas perdana menteri Najib Razak melafazkan sumpah laknat, menafikan beliau mengarahkan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Najib melafazkan sumpah selepas solat Jumaat tadi.

“Wallahi, wabillahi, watallahi.

“Alhamdulillah, sejak saya memasuki usia taklif hingga saat ini, saya tidak pernah mengarahkan mana-mana individu untuk membunuh seorang wanita warganegara Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu.

“Malah saya tak pernah berjumpa dan tak mengenali mendiang sama sekali. Jika saya berdusta maka laknat Allah SWT ke atas diri saya.

“Dan jika saya benar, maka mereka yang memfitnah saya dan tidak bertaubat akan dilaknat oleh Allah SWT di dunia dan akhirat,” kata Najib ketika melafazkan sumpah.

Ini merupakan sumpah laknat ketiga Najib berkenaan pembunuhan Altantuya.

Kali pertama ialah pada 2007 semasa pilihan raya kecil Ijok dan yang kedua semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 2008.

Bekas presiden Umno itu ditemani isterinya, Rosmah Mansor dan anak perempuannya, Nooryana Najwa.

Hadir sama adalah Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin kanan Umno dan PAS. 

Najib yang berbaju Melayu putih dan berseluar hitam serta bersongkok sebelum itu menjelaskan mengapa beliau mahu melafazkan sumpah laknat hari ini.

“Saya pernah melafazkan sumpah atas nama Allah dua kali iaitu di Ijok, Selangor pada 2007 waktu pilihan raya kecil dan sekali lagi pada 2008 di dalam sebuah masjid iaitu Masjid Guar Perahu di Permatang Pauh waktu pilihan raya kecil.

“Tapi kali ini adalah kemuncak kepada segala sumpah dan saya tahu implikasi sumpah ini, saya tahu pengertiannya. Tetapi kerana atas kebenaran, kerana saya berdiri atas kebenaran.

“Dan saya cuma takut kepada Allah SWT sahaja,” kata Najib.

Tinggalkan komen anda