‘Moga Anwar pun sanggup buat ujian poligraf’


shadow

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir hari ini mencadangkan agar Anwar Ibrahim menjalani ujian poligraf.

Roslan berkata demikian selepas Muhammed Yusoff Rawther selesai menjalani ujian poligraf di ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur berhubung dakwaan salah laku seksual membabitkan presiden PKR itu.

Roslan yang dipetik Harakahdaily berkata, ujian poligraf terhadap Anwar perlu dilakukan supaya dapat membuktikan kredibiliti ahli parlimen Port Dickson itu yang bakal menyandang jawatan sebagai perdana menteri.

“Moga Anwar pun sanggup melalui ujian poligraf yang sama. Kini Anwar bakal PM (perdana menteri) dan bukan lagi anggota pembangkang tetapi memimpin parti pemerintah. Sudah pasti tidak siapa berani berpakat mengenakannya.

“Jika segala ini fitnah terhadap Anwar dan usaha mahu gagalkan impiannya menjadi PM ke-8 maka Anwar perlu berani untuk menjalani ujian ini demi keadilan! Jangan beri alasan lagi kerana rakyat Malaysia perlu tahu kredibiliti bakal PM nya,” katanya.

Semalam, peguam Muhammed Yusoff, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata terpulang kepada Anwar dan pihak polis sama ada presiden PKR itu perlu melakukan ujian poligraf.

Anwar hadir ke Bukit Aman pada Khamis lalu bagi memberikan keterangan.

Sementara itu, Roslan menyorot bahawa Muhammed Yusoff “bersungguh-sungguh” memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

”Kenyataannya telah dirakam dua kali oleh pihak polis. Bersungguh mahu menegakkan kesnya semalam Muhammed Yusoff Rawther ke Bukit Aman lagi.

“Kali ini untuk secara sukarela menjalani ujian poligraf atau ‘lie detector’ iaitu satu alat yang dikendalikan pakar boleh mengesan sama ada seseorang itu berbohong atau tidak dan kenyataannya itu direkodkan,” katanya.

Semalam, Muhammed Yusoff menjalani ujian berkenaan bermula jam 4.30 petang dan selesai kira-kira jam 8.30 malam.

Pada 9 Disember lalu, Muhammed Yusoff memberi keterangan selama lapan jam kepada Unit Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siastaan Jenayah Bukit Aman.

Beliau kemudian datang semula ke Bukit Aman keesokan harinya untuk menyambung keterangan selama tiga jam berhubung Akuan Bersumpah (SD) serta laporan polis yang dibuat di IPD Sentul pada 7 Disember lalu atas dakwaan menjadi mangsa cabul.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tinggalkan komen anda