MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini dianugerahkan ijazah doktor kehormat Universiti Shukutoko, di Chiba, Jepun.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata penganugerahan itu sebagai menghargai sumbangan beliau dalam meningkatkan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Jepun.
Dalam ucapan penerimaannya, Maszlee berkata Universiti Shukutoko mempunyai banyak persamaan dengan Malaysia dalam segi falsafah pendidikan demi mencapai kebajikan sosial.
Beliau juga melihat persamaan antara visi Jepun dan Malaysia iaitu Masyarakat 5.0.
“Melalui visi ini, sasaran adalah kepada peningkatan kualiti hidup dan mencipta nilai baharu bagi Malaysia di masa hadapan,” kata kenyataan itu.
Majlis turut disaksikan Datuk Bandar Itabashi Takeshi Sakamoto.
Maszlee sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Malaysia (UMS) dengan Unversiti Shukutoku. Dua universiti itu akan bekerjasama dalam bidang kebajikan sosial.
UMS diwakili Naib Canselornya Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin manakala Universiti Shukutoku diwakili Presidennya Prof Tetsuya Isooka, lapor Bernama.
Universiti Shukutoku ditubuhkan pada 1965 yang terdiri daripada satu jabatan universiti iaitu Jabatan Kebajikan Sosial, Fakulti Kebajikan Sosial.
Tinggalkan komen anda