KEMENTERIAN Industri Utama bukan sahaja bersedia mengambil tindakan lebih tegas terhadap Kesatuan Eropah (EU) berikutan diskriminasinya ke atas industri sawit malah dalam proses memfailkan kes berkenaan di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Menteri, Teresa Kok Suh Sim berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Luar bagi meneliti perkara tersebut dan seterusnya menyediakan kertas perundangan sewajarnya.
“Mengambil kira kepentingan industri sawit kepada negara, termasuk pembangunan sosioekonomi lebih tiga juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam industri ini, kerajaan berpandangan wajar untuk Malaysia mengambil tindakan lebih tegas terhadap EU yang dilihat mendiskriminasikan negara pengeluar minyak sawit,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai pelan luar jangka kementerian itu sekiranya kes tersebut gagal difailkan di WTO.
Kok berkata Malaysia mempunyai asas untuk mencabar EU melalui Badan Penyelesaian Pertikaian di bawah WTO.
Beliau berkata berdasarkan semakan dan penilaian awal, polisi yang dinyatakan dalam Peraturan Delegasi di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharu (RED II) EU dapati telah melanggar prinsip WTO mengikut Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan 1994 serta Perjanjian Halangan Teknikal kepada Perdagangan.
Peraturan Delegasi merupakan peraturan pelengkap di bawah RED II EU yang telah diterima dan diperakui serta diterbitkan dalam jurnal rasmi oleh pihak EU pada 21 Mei, 2019.
Akta atau peraturan ini adalah satu akta yang menerangkan antara lain mengenai kriteria atau metodologi bagi menentukan sama ada sumber dalam pengeluaran biobahan api menyebabkan kadar perubahan penggunaan tanah secara tidak langsung (ILUC) yang tinggi atau rendah selain kesannya kepada pelepasan gas rumah hijau, katanya.
Beliau berkata dalam isu ini, berdasarkan Peraturan Delegasi berkenaan, minyak sawit telah dikategorikan mempunyai kadar ILUC yang tinggi.
Oleh yang demikian, mulai Julai 2021, jumlah eksport minyak sawit negara akan dihadkan pada tahap dan nilai penggunaan pada 2019, katanya.
Beliau berkata selepas itu minyak sawit akan dikeluarkan sepenuhnya daripada sumber biobahan api di EU bermula 2030 sekiranya masih dikategorikan mempunyai kadar ILUC yang tinggi berdasarkan semakan semula pada 2021.
“Berdasarkan analisis, Peraturan Delegasi di bawah RED II EU dilihat mempunyai kekurangan dari segi ketelusan, kredibiliti saintifik dan terdapat banyak andaian yang dibuat, memberikan gambaran yang tidak tepat terhadap amalan kemampanan yang dilaksanakan dalam industri sawit negara.
“Selain itu, peraturan tersebut juga dilihat berat sebelah apabila hanya minyak sawit dikategorikan mempunyai kadar risiko ILUC yang tinggi berbanding minyak lain bagi sumber kepada biobahan api,” katanya.
Kok berkata tindakan EU terbabit telah mewujudkan sekatan yang tidak wajar ke atas usaha kemampanan yang telah dan sedang dilaksanakan Malaysia serta seterusnya menyekat amalan perdagangan bebas.
Tinggalkan komen anda