Majikan persoal langkah k’jaan laksana gaji minimum di 57 bandar


shadow

Langkah kerajaan dalam menunaikan janjinya dengan menaikkan gaji minimum kepada RM1,200 bagi pekerja di 57 kawasan bandar bermula tahun depan mengundang persoalan pihak majikan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan dipetik The Malaysian Insight berkata ini kerana kerajaan tidak menjelaskan bagaimana langkah itu akan dilaksanakan.

Soalnya, cara pemilihan senarai 57 kawasan bandar itu tidak dapat difahami.

“Kerana hanya 15 bandar diiktiraf secara rasmi di Malaysia,” katanya.

Presiden Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia Michael Kang juga membangkitkan persoalan serupa.

Kata Michael, bagaimana gaji minimum itu dikuatkuasakan jika tempat kerja terletak di luar sempadan kawasan bandar yang disenaraikan.

“Kesemua 57 bandar ini meliputi seluruh negara dan ia amat berbeza dengan pengumuman bahawa dasar itu akan dilaksanakn di kawasan bandar saja.

“Bandar utama perlu melibatkan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Melaka, serta beberapa bandar lain. Kenapa Semenyih dan Kajang juga disenaraikan?

“Bagaimana jika ibu pejabat syarikat melaksanakan gaji minimum RM1,2000 tetapi membuka cawangan di luar kawasan bandar,” kata Koang kepada The Malaysian Insight.

Pada 18 Disember lalu, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran mengumumkan gaji minimum RM1,200 akan berkuatkuasa pada 1 Januari di 57 bandar di seluruh negara.

Menteri ketika melawat tapak pembinaan lebuh raya Pan Borneo baru-baru ini.

Senarai itu termasuk Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya, Johor Bahru, Batu Pahat, Bandar Melaka, Alor Setar, Bandar Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Terengganu, Bentong dan Teluk Intan.

Di Timur Malaysia, kawasan yang terlibat adalah Kuching, Miri, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Malaysia memperkenalkan dasar gaji minimum pada 2012 selepas Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 diluluskan parlimen. Perintah gaji minimum 2016 menetapkan kadar minimum mengikut wilayah iaitu RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Selepas mengambil alih pentadbiran, PH meminda gaji minimum kepada RM1,100 sebulan. Dalam Janji ke-34 Buku Harapan, PH menyatakan komitmen untuk menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 dalam penggal pertama pentadbirannya, dan akan menyemak kadar itu setiap dua tahun.

Ketika mengumumkan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,200 bermula Januari 2020 tetapi hanya terbatas kepada pekerja di bandar-bandar utama Malaysia.

Tinggalkan komen anda