Lindungi keluarga dengan vaksin influenza setiap tahun, kata Siti Hasmah


shadow

STERI Perdana Menteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali menggesa rakyat Malaysia melindungi anggota keluarga mereka daripada ancaman influenza melalui suntikan vaksin setiap tahun.

Meskipun beliau dan suami Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sentiasa menjaga kesihatan menerusi amalan gaya hidup sihat, suntikan pencegahan itu diambil setiap tahun memandangkan terdapat pelbagai ancaman penyakit pada masa kini.

Ini kerana influenza amat berbahaya kepada golongan yang berisiko seperti wanita hamil, kanak-kanak bawah lima tahun, orang dewasa berumur 65 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik, kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

“Saya dan suami (Dr Mahathir) telah mengambil suntikan itu sejak beliau kali pertama jadi perdana menteri lagi.

“Dahulu ambil suntikan kalau ingin ke luar negara, sekarang walaupun tidak ke luar negara tetap ambil sekurang-kurangnya sekali setahun,” kata Dr Siti Hasmah selepas merasmikan kempen Flu Prevention Is An Act Of Love anjuran Immunise4Life (IFL) hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Teknikal IFL, Prof Dr Zulkifli Ismail. 

Kempen pendidikan komuniti besar-besaran itu turut mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Kumpulan Kerja Influenza Malaysia, Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia, Persatuan Pediatrik Malaysia dan inisiatif Vaksinasi Itu Perlindungan.

Siti Hasmah, yang juga penaung IFL, dalam pada itu menjelaskan mereka ambil suntikan itu atas nasihat anak sebagai vaksin tambahan bagi menjaga kesihatan di samping suntikan pneumococcal selain mempraktikan gaya hidup sihat seperti bersenam, menjaga pemakanan dan tidur yang cukup.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata kempen ini diharap dapat membuka mata rakyat negara ini akan kepentingan vaksin tambahan ini kerana influenza boleh membawa maut berbanding selesema biasa yang tidak berbahaya.

“Sebab itu ia kurang mendapat sambutan kerana keliru antara influenza dan selesema biasa. Sesetengah orang yang terjangkit akan melawan influenza dan pulih, tetapi yang lain pula tidak.

“Disebabkan usia dan masalah kesihatan lain yang dihadapi pada masa sama mereka mungkin mendapat penyakit yang teruk disertai komplikasi yang membawa maut, termasuk radang paru-paru (pneumonia), jantung (miokarditis), otak dan kegagalan berbilang organ,” katanya.

Ketika ini suntikan vaksin influenza hanya boleh didapati di klinik dan hospital swasta dengan kadar RM50 hingga RM125 setiap suntikan.

Tinggalkan komen anda