Lembaga Disiplin Umno nak siasat, siasatlah – Hisham


shadow

Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein berkata bersedia untuk disiasat lembaga disiplin parti.

Ini susulan dakwaan bahawa anggota parlimen Semberong itu mengetuai pertemuan sekumpulan anggota parlimen Umno dengan Azmin Ali di Putrajaya.

“Saya konsisten – (lembaga disiplin parti) nak siasat, siasatlah.

“Tiada apa saya hendak sembunyikan,” katanya pada suatu hantaran Facebook, malam ini.

Beliau menegaskan majoriti anggota Umno setia kepada perjuangan parti.

Kini bukan sahaja sebahagian besar ahli parti berikrar untuk terus berjuang mengukuhkan parti.

“Malah, Presiden (Umno, Ahmad Zahid Hamidi) sendiri telah akui dalam ucapan penggulungan PAU2019 bahawa kesemua ahli parlimen Umno tetap setia kepada parti.

“Jadi, jangan lah kita keruhkan semula keadaan dengan menimbulkan sebarang spekulasi,” katanya.

Terdahulu, Lembaga Disiplin Umno mengesahkan telah mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Hishammuddin berhubung pertemuan sekumpulan anggota parlimen Umno dengan menteri hal ehwal ekonomi, Azmin Ali bulan lalu.

Perkara itu disahkan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali ketika dihubungi petang tadi.

“Saya sahkan fakta pengeluaran surat tunjuk sebab,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini anggota majlis tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa anggota Parlimen Sembrong itu mengetuai pertemuan berkenaan yang diadakan kediaman rasmi Azmin di Putrajaya pada 18 Nov lalu.

Lokman dilapor berkata beliau telah membuat aduan disiplin terhadap Hishammuddin pada 30 Okt.

Bagaimanapun Hishammuddin menafikan beliau mengatur pertemuan berkenaan.Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pertemuan antara anggota parlimen Umno dan Timbalan Presiden PKR itu adalah bagi membincangkan penyaluran projek-projek kerajaan ke kawasan mereka.

Bagaimanapun, Zahid mengakui menerima aduan bahawa perjumpaan itu membelakangkan nasihat Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob, hingga menyebabkan ramai pihak membuat spekulasi.

Malaysiakini dimaklumkan berdasarkan surat yang dikeluarkan 13 Dis lalu, Hishammuddin boleh dikenakan tindakan di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan Umno.

Beliau dikendaki menjawab surat berkenaan sebelum ataupun pada 26 Dis ini.

Malaysiakini difahamkan, bekas menteri pertahanan itu masih belum menerima surat berkenaan.

Tinggalkan komen anda