Lebih 180,000 imigran tanpa dokumen dihantar pulang di bawah B4G


shadow

Lebih 180,000 imigran tanpa dokumen sah dihantar pulang di bawah program pengampunan Back For Good (B4G) yang berakhir pada tengah malam ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Dalam perutusan tahun barunya, Khairul Dzaimee berkata pelaksanaan program yang dimulakan sejak 1 Ogos itu merupakan pencapaian utama jabatan berkenaan pada tahun ini.

Beliau juga menyorot bahawa pihaknya operasi membanteras imigran tanpa dokumen secara besar-besaran pada tahun depan merupakan antara fokus utama imigresen.

“Operasi membanteras PATI (imigran tanpa dokumen sah) secara besar-besaran dengan sasaran sekurang-kurangnya penahanan seramai 70,000 PATI dalam tahun 2020 melalui pelaksanaan operasi secara bersasar (targeted) dan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di bawah program B4G, imigran yang tidak mempunyai dokumen sah boleh menyerah diri dan membayar denda untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.

Tinjauan Malaysiakini mendapati beberapa pejabat imigresen sesak dengan kehadiran imigran yang membuat permohonan saat akhir untuk program berkenaan.

Bagaimanapun, timbul keluhan yang mengatakan mereka terpaksa menunggu sehingga beberapa hari.

Beberapa imigran juga mendakwa mereka dihampiri ‘calo’ atau orang tengah yang menawarkan untuk mempercepatkan proses permohonan mereka.

Sementara itu, dalam perutusan tahun barunya, Khairul Dzaimee turut menyenaraikan dua fokus lain pihaknya pada 2020.

Satu daripadanya ialah meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunter, yang menurut Khairul Dzaimee perlu konsisten, profesional dan mesra.

Selain itu, satu lagi fokus imigresen ialah meningkatkan kecekapan tadbir urus jabatan itu mealui pelaksanaan 100 peratus inisiatif e-payment mulai Jun 2020 dan pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe).

Pencapaian lain yang turut dinyatakan Khairul Dzaimee bagi jabatannya ialah kejayaan menumpaskan sindiket dalam oleh rakyat asing di seluruh negara dan membongkar sindiket pengeluaran kad pengenalan secara tidak sah.

“Saya yakin, dengan semangat kerja berpasukan dan iltizam yang tinggi, kita akan terus mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun 2020, demi untuk keselamatan dan kesejahteraan negara kita yang tercinta,” katanya.

Tinggalkan komen anda