Laporan positif Bank Dunia, IMF cermin keyakinan terhadap ekonomi negara


shadow

LAPORAN positif oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengesahkan kedudukan fiskal Malaysia seperti yang dilaporkan oleh kerajaan sebelum ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia dianggap mencatatkan kemajuan dalam agenda reformasi yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang terus mampan, kadar inflasi terkawal dan terdapat lebihan dalam akaun semasa.

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Hutang pada 6 Disember lepas mengumumkan nisbah hutang dan liabiliti kerajaan berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) sehingga akhir Jun 2019 sebanyak 52.6% bagi hutang langsung, 10.4% Jaminan kerajaan yang ditanggung dan 2.1% untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Secara keseluruhan, nisbah hutang dan liabiliti menurun daripada 79.3% KDNK pada akhir 2017 kepada 77.1% KDNK pada akhir Jun 2019.

“Ini menunjukkan kejayaan dan komitmen keajaan Pakatan Harapan (PH) dalam, usaha konsolidasi hutang dan liabilti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata dalam jangka sederhana, kerajaan menyasarkan untuk menurunkan lagi nisbah hutang dan liabiliti kepada 65% KDNK pada akhir 2025, dan menambah bahawa sasaran defisit fiskal bagi 2019 kepada RM52 bilion atau 3.4% KDNK akan dicapai, seperti yang dilaporkan oleh Bank Dunia dan IMF.

“Ini merupakan pengurangan defisit fiskal 3.7% KDNK pada 2018, yang merupakan hasil daripada kejayaan kerajaan dalam melaksanakan tender terbuka dan penjimatan koas.

“Hutang langsung dijangka naik sebanyak RM52 bilion pada 2019 untuk menampung perbelanjaan pembangunan negara yang diluluskan oleh Parlimen pada 2018,” katanya.

Selain hutang langsung, kerajaan juga mempunyai komitmen jaminan yang perlu ditanggung dan dibiayai bagi melaksanakan projek pengangkutan awam dan utilit termasuk LRT 3, MRT 2 dan Lebuhraya Pan Borneo dengan jumlah kos RM75 billion.

Selain itu, Lim berkata jumlah jaminan kerajaan yang ditanggung dan biaya juga meningkat akibat skandal yang terbongkar selepas kerajaan PH mengambil alih seperti isu Tabung Haji (TH), apabila kerajaan Barisan Nasional memalsukan akaun TH bagi menyembunyikan kerugian besar selain membayar hibah yang tinggi walaupun tiada mencatat keruntungan.

Sementara itu, Lim berkata pengesahan agensi penarafan kredit antarabangsa ke atas penarafan kredit negara Malaysia pada A- atau  A3 dengan unjuran stabil adalah bukti kukuh bahawa kerajaan PH bersifat berhemah dan telus dalam pengurusan fiskal kerajaan.

“Keyakinan badan dan pelabur antarabangsa itu mematahkan dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah memutarbelitkan fakta untuk menyebarkan maklumat palsu mengenai kedudukan hutang dan liabilti negara, termasuk fitnah bahawa Kementerian Kewangan menjual aset dan hartanah negara.

“Perlu ditekankan bahawa saya belum meluluskan sebarang penjualan aset dan hartanah negara yang sebenarnya dijalankan oleh agensi lain yang tidak ada kaitan dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Tinggalkan komen anda