Laporan cadangan gantian hukuman mati diserah bulan depan, kata menteri


shadow

JAWATANKUASA Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori akan melengkapkan laporan cadangannya dahulu sebelum mengemukakan kepada kerajaan pada bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata jawatankuasa itu sepatutnya menyerahkan laporan mereka pada bulan ini.

“Mereka sepatutnya menyerahkan laporan itu pada bulan ini tetapi mereka memerlukan beberapa minggu tambahan untuk memperhalusi beberapa isu. Mereka akan menyerahkannya pada Januari.

“Sebaik mereka menyerahkan laporan itu, saya perlu menelitinya terlebih dahulu sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet,” katanya pada sidang media selepas forum anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sempena Hari Hak Asasi Manusia 2019, di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Liew, mesyuarat Kabinet seterusnya akan menentukan sama ada akan menerima cadangan yang dikemukakan jawatankuasa khas itu.

Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas itu pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Ogos lalu.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan seorang bekas ketua hakim negara dan ahlinya terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Persekutuan, bekas pegawai Jabatan Peguam Negara, bekas pegawai kanan Jabatan Penjara Malaysia, wakil Majlis Peguam, wakil Suhakam, ahli akademik, pakar kajian jenayah dan wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Jawatankuasa khas ini berperanan untuk mengkaji dan menasihatkan kerajaan mengenai cadangan dasar penghukuman alternatif sebagai hukuman gantian terhadap hukuman mati.

Terdapat 33 kesalahan di bawah akta sedia ada yang membawa hukuman mati dengan 11 daripadanya adalah mandatori.

Daripada 11 kesalahan itu, sembilan adalah jenis kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua lagi mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Tinggalkan komen anda