LANGSUNG: Tommy Thomas mula soal balas Najib


shadow

PASUKAN pembelaan dijangka menamatkan sesi soal saksi utamanya, Najib Razak dalam kes SRC International hari ini. 

Perbicaraan kes masuk hari keempat hari ini. 

Bekas perdana menteri itu selesai membaca 243 keterangan bersumpahnya semalam, di mana beliau disoal oleh pasukan pembelaan tentang tuduhan menyeleweng RM42 juta dana awam.

Pemeriksaan saksi utama itu dijangka ditamatkan oleh peguam kanannya, Muhammad Shafee Abdullah.

Najib, saksi pembelaan pertama, akan dipanggil untuk soal balas oleh pihak pendakwaan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas.

Semalam, Najib berkata beliau tidak pernah meminta Wisma Putra memeriksa sama ada benar atau tidak Raja Arab Saudi Raja Abdullah yang memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank peribadinya antara 2011 dan 2014.

Najib berkata derma yang dikatakan itu diterimanya tidak lama selepas beliau berjumpa Raja Abdullah pada awal 2010. Beliau yang juga bekas menteri kewangan berkata Bank Negara tidak pernah mengeluarkan amaran mengenainya dan kerana itu beliau percaya derma itu adalah sah.

Beliau juga mempertahankan beberapa transaksi kad kredit dibuat antara 2014 dan 2015, berkata perbelanjaan di kedai mewah di Itali, misalnya, adalah untuk mengukuhkan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Najib juga mendakwa AS$130,625 (RM543,530) yang dicaj ke atas kad kreditnya di butik Chanel di Honolulu adalah pembelian hadiah untuk isterinya, Rosmah Mansor.

Beliau juga menjelaskan mengapa beliau tidak membuat laporan polis pada 2015 mengenai transaksi “tidak kena” dalam akaun Ambanknya, berkata beliau tidak mahu dianggap masuk campur dalam siasatan yang sedang berjalan ketika itu.

Najib juga membacakan kenyataan media pada 2016 dikeluarkan peguam negara ketika itu, Apandi Ali yang membebaskannya daripada semua salah laku.

Selepas pihak pendakwaan mempersoalkan kenyataan media itu, pihak pembelaan berkata mereka akan memanggil Apandi sebagai saksi untuk mengesahkannya.

Pertuduhan ke atas Najib dalam kes SRC International berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion diberikan kepada syarikat itu pada 2011 dan 2012, apabila beliau didakwa menerima suapan RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya antara 2014 dan 2015.

Prosiding pembelaan dijangka berlangsung sehingga 19 Disember di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:

3.30pm: Tommy berkata SRC International ditubuhkan pada 4 Januari 2011 dan didaftarkan oleh Nik Faisal dan Vincent Koh Beng Huat. 

Beliau menyoal Najib mengapa SRC International ada dua pengarah.

Najib jawab itu langkah pentadbiran semata-mata.

3.14pm:  Soalan Tommy kepada Najib berkisar tentang cara Dr Mahathir menghadapi Krisis Kewangan Asia 1997, ketika Dr Mahathir jadi perdana menteri.

Tommy bertanya adakah Najib menggunakan cara sama seperti Dr Mahathir semasa krisis kewangan 2008 iaitu semasa tertuduh jadi perdana menteri.

Najib berkata semasa beliau ambil alih jawatan menteri kewangan pada 2008, defisit fiskal negara adalah pada 6.7%. Pada hujung 2017, defisit fiskal negara turun kepada 3%.

3pm: Najib beritahu mahkamah beliau tidak mengarahkan KWAP luluskan pinjaman semasa jadi perdana menteri.

2.43pm: Prosiding bersambung. 

12.51pm: Mahkamah berhenti rehat tengah hari.

12.42pm: Tommy tanya Najib siapa yang cadangkan nama 1MDB. Najib kata ia dipilih oleh pengurusan 1MDB.

Tommy: Bukan kamu yang pilih?

Najib: Bukan.

Najib juga menegaskan beliau tidak menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri apabila memecat timbalannya Muhyiddin Yassin dan bekas menteri pembangunan luar bandar Shafie Apdal semasa rombakan Kabinet pada 2015.

Muhyiddin dan Shafie dipecat selepas tidak bersetuju dengan Najib mengenai 1MDB.

“Saya pecat mereka kerana mereka keluarkan kenyataan secara terbuka sedangkan ia sepatutnya dibuat dalam mesyuarat Kabinet,” kata Najib.

12.40pm: Tommy tanya Najib bagaimana hendak jalankan dua tugas yang sukar pada satu masa.

Najib berkata beliau bukan perdana menteri pertama yang pegang dua portfolio. Dr Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi juga pegang dua portflio sebelum ini, katanya.

Najib berkata beliau dibantu oleh dua menteri kewangan kedua.

12.34pm: Tommy bertanya jika Najib seorang ahli ekonomi atau ahli perniagaan yang membolehkannya pegang portfolio menteri kewangan.

Najib berkata beliau tiada asas dalam bidang ekonomi. Najib juga berkata beliau pernah menjadi menteri besar Pahang, jadi beliau tahu bagaimana hendak uruskan negara.

Tambah Najib, beliau berminat untuk tambah pengetahuan dalam bidang ekonomi, jadi tidak nampak mengapa tidak boleh lantik diri sendiri sebagai menteri kewangan.

12.30pm: Tommy sekali lagi bertanya mengapa Najib “lantik sendiri” dirinya sebagai menteri kewangan.

Najib jawab ini kerana beliau percaya boleh menaikkan ekonomi Malaysia. Najib kata beliau melihatnya melalui “gambaran yang lebih besar”.

Beliau juga mendakwa semasa menjadi menteri kewangan, ekonomi Malaysia berkembang lebih pesat daripada empat Harimau Asia (Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan).

12.22pm: Tommy menyoal tentang jawatan politik, tugas dan tanggungjawab Najib.

11.44am: Tommy bertanya jika Najib adalah “menteri kewangan sendiri” selepas memutuskan untuk kekalkan portfolio tersebut selepas jadi perdana menteri.

Najib berkata perdana menteri mempunyai kuasa untuk melantik menteri kewangan.

11.23am: Tommy Thomas menyoal Najib tentang penglibatannya dalam Umno dan sama ada beliau menyokong Dr Mahathir Mohamad semasa parti itu berada dalam krisis pada 1987.

Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Semangat 46 sebagai usaha untuk menggulingkan Dr Mahathir yang pada masa itu merupakan perdana menteri dan presiden Umno.

Najib bertanya adakah soalan Tommy relevan dengan perbicaraan.

Tommy kata ya selagi tiada bantahan dari pembelaan.

Najib jawab ya beliau menyokong Dr Mahathir.

11.16am: Tommy Thomas mula menyoal balas Najib.

Tommy menyoal dalam Bahasa Inggeris manakala Najib jawab dalam Bahasa Melayu.

10.56am: Najib jelaskan bahawa lawatan ke Honolulu adalah lawatan percutian sempena hari lahir Rosmah. Bagaimanapun, percutian terpaksa dipendekkan kerana Kelantan dilanda banjir besar dan ini menyebabkan keluarganya tidak gembira.

Najib kata beliau beli jam tersebut untuk pujuk Rosmah.

Semasa lawatan ke Honolulu itu juga Najib mengambil peluang bermain golf dengan presiden AS ketika itu, Barack Obama, untuk mengukuhkan lagi hubungan dua negara.

10.50am: Shafee menyoal Najib tentang lawatan ke Honolulu, Hawaii. Najib diminta jelaskan mengenai AS$130,625.00 (RM466,330.11) yang dikenakan di Chanel di Honolulu pada 22 Disember 2014.

Najib berkata ia caj bagi seutas jam tangan yang dibeli sebagai hadiah kepada isterinya, Rosmah Mansor. Ia dipilih sendiri Rosmah, kata Najib.

10.40am: Shafee bertanya kepada Najib sama ada terlibat secara langsung dalam penubuhan SRC International.

Najib jawab tidak, tetapi diberitahu bahawa penubuhan SRC International dicadangkan oleh pengurusan 1MDB.

10.36am: Shafee bertanya kepada Najib jika pernah diberi amaran mengenai Jho Low dan “perkara pelik” yang berlaku di 1MDB.

Najib berkata sebenarnya ada beberapa orang pernah memberitahunya supaya bertanya tentang Low, terutamanya mengenai pemindahan dana.

10.26am: Shafee tanya Najib tentang penubuhan 1MDB.

Najib ulangi jawapannya seperti yang dinyatakan dalam penyataan saksinya, iaitu 1MDB bukanlah cetusan idea beliau tetapi adalah Terengganu Investment Agency Bhd (TIA) yang kemudiannya ditukar nama kepada 1MDB selepas kerajaan mengambil alih TIA.

10am: Shafee bertanya kepada Najib jika ada membuat laporan polis mengenai tandatangannya itu. Najib berkata sepanjang berkhidmat beliau menandatangani beribu dokumen.

Beliau menegaskan keaslian tandatangannya dan dokumen perlu disahkan oleh pakar dari Australia.

9.35am: Shafee menunjukkan dokumen kepada Najib. Shafee bertanya kepada Najib sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada menunjukkan dokumen tersebut kepadanya semasa meminta mengesahkan tandatangan.

Najib berkata ada dan beliau beritahu SPRM itu adalah tandatangannya.

9.46am: Tambahan dalam pernyataan saksinya, Najib menyatakan rasa curiga tentang kesahihah tandatangannya dalam dokumen tertentu yang dikemukakan kepada mahkamah.

Atas nasihat peguam belanya, Najib berkata dokumen tersebut sebaiknya diperiksa kesahihannya oleh pakar dari Australia.

9.26am: Najib duduk dalam kandang saksi. Shafee beritahu Nazlan pasukan peguam bela ada tambahan enam muka surat kenyataan.

9.20am: Mahkamah mula bersidang. 

Tinggalkan komen anda