KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia membantu kerajaan negeri Pahang dalam melaksanakan skim sewa-milik rumah bagi projek perumahan dibangunkan kerajaan negeri untuk membantu golongan B40 memiliki rumah.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata ini kerana mereka yang bekerja sendiri tidak mempunyai penyata pendapatan menyebabkan berdepan kesukaran membuat permohonan pinjaman perumahan daripada bank.
“Mereka yang bekerja sendiri ini juga mempunyai keupayaan untuk membeli rumah dan skim ‘rent-to-own’ atau sewa-milik yang kita (KPKT) perkenalkan sejak September lalu diharapkan dapat membantu lebih ramai, khususnya daripada golongan B40 memiliki rumah sendiri.
“Di bawah skim sewa-milik itu, penyewa yang membayar sewa rumah setiap bulan tanpa sebarang masalah sehingga lima tahun, mereka boleh ditawarkan membeli rumah itu menerusi skim itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Rumah Mampu Milik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kuantan, hari ini.
Turut hadir Pengerusi SPNB Mohammad Mentek yang juga ketua setiausaha KPKT.
Katanya, KPKT juga sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dan pemilik tanah dalam pembinaan rumah mampu milik jika tapak tersebut sesuai.
Mengulas mengenai projek itu, Zuraida berkata ia dibangunkan menerusi inisiatif pembiayaan swasta di tapak seluas 59 hektar melibatkan pembinaan 1,422 unit yang dibangunkan dalam tiga fasa yang dijangka mengambil masa selama tujuh tahun.
Katanya, fasa pertama akan bermula Januari ini dengan jangkaan siap dalam tempoh tiga tahun, melibatkan pembinaan 186 unit rumah teres setingkat, teres dua tingkat (349 unit) dan kedai setingkat (12 unit).
Lokasi rumah itu juga dilihat strategik ekoran terletak berhampiran kemudahan seperti Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Taman Tema Air Gambang, kem tentera dan universiti awam selain tidak terlalu jauh dari bandar Kuantan.
“KPKT juga membuat dasar supaya rumah mampu milik yang dibina memenuhi spesifikasi keluasan sekurang-kurangnya 900 kaki persegi supaya lebih sesuai dan selesa kepada pembeli kerana rumah yang terlalu kecil tidak sesuai khususnya kepada mereka yang mempunyai ramai anak,” katanya.
Zuraida berkata projek itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk menunaikan janji membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun, yang terkandung dalam manifesto pilihan raya.
Tinggalkan komen anda