Korban tragedi kebakaran kolej di Ukraine meningkat 10 orang


shadow

SERAMAI 10 orang terbunuh manakala lapan lagi hilang dalam insiden kebakaran bangunan yang menempatkan Kolej Odessa, dengan angka korban dijangka terus meningkat, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Perdana Menteri Ukraine Oleksiy Honcharuk pada Ahad.

Honcharuk menziarahi Odessa untuk meratapi mangsa yang terkorban dan memeriksa siasatan kebakaran di Kolej Ekonomi, Undang-Undang, Perhotelan dan Perniagaan Restoran Odessa.

“Lapan orang lagi masih hilang. Pasukan penyelamat belum menghentikan usaha mencari mangsa. Kerajaan akan memberikan bantuan penuh kepada mereka yang kehilangan saudara mara. Saya mengucapkan setinggi-tinggi takziah,” tulis Honcharuk di saluran Telegram beliau.

Beliau berkata kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya untuk menyiasat insiden kebakaran itu dan penemuannya perlu diserah menjelang 20 Disember.

Perdana menteri itu juga berkata pemeriksaan terakhir bangunan kolej itu dibuat lima tahun lepas iaitu pada Jun 2014.

Sejumlah 30 orang cedera dalam kebakaran itu dan sembilan daripada mereka masih berada di hospital.

Kebakaran berlaku di tingkat ketiga bangunan enam tingkat itu pukul 10.12 pagi waktu tempatan pada Rabu, sebelum merebak ke kawasan seluas  4,000 meter persegi.

Polis membuka prosiding jenayah berkaitan pelanggaran syarat keselamatan kebakaran.

Tarikh 5 dan 6 Disember diisytihar sebagai hari berkabung di Odessa manakala 8 Disember bagi Ukraine.

Tinggalkan komen anda