JUMLAH yang terkorban akibat Taufan Kammuri di Filipina minggu ini mencecah 13 orang, kata pihak berkuasa pada Khamis.
Angin kuat yang dibawa taufan itu menyebabkan pokok tumbang dan memusnahkan kediaman di utara negara itu pada Selasa, dan memaksa penutupan lapangan terbang antarabangsa Manila selama 12 jam.
Pihak berkuasa berkata pada Rabu, seorang lemas manakala tiga yang lain maut terkena pokok dan objek terbang.
Pegawai bencana tidak memberi maklumat mengenai bagaimana mangsa lain meninggal dunia, namun laporan polis tempatan berkata ada yang mungkin lemas atau dihempap pokok.
Jurucakap agensi bencana negara, Mark Timbal berkata tiada mayat baru dijumpai tetapi angka kematian mungkin meningkat apabila laporan diterima disahkan.
“Ada kemungkinan jumlah bertambah tetapi kami berharap ia sebaliknya,” kata Timbal kepada AFP.
Ratusan ribu penduduk yang tinggal di kawasan berisiko dan terjejas dipindahkan sebelum Taufan Kammuri membadai pada petang Isnin, yang menurut pihak berkuasa berjaya menyelamatkan nyawa.
Bagaimanapun, taufan itu menyebabkan kerosakan kepada 135 sekolah dan memusnahkan hampir 1,200 rumah, dengan kerosakan tanaman paling teruk terjejas yang dianggarkan mencapai hampir AS$16 juta.
Filipina sering dibadai kira-kira 20 ribut dan taufan setiap tahun, membunuh ratusan orang dan menyebabkan penduduk di daerah yang terdedah dengan bencana berterusan hidup dalam kemiskinan.
Presiden Rodrigo Duterte dijadualkan melawat pada Khamis di wilayah Bicol, selatan semenanjung Manila yang dilanda teruk taufan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino ditutup setengah hari pada Selasa sebagai langkah berjaga-jaga, yang menjejaskan lebih 500 penerbangan, sementara kira-kira separuh daripada acara Sukan SEA, yang dianjurkan oleh Manila dan beberapa bandar berdekatan, terpaksa ditangguhkan.
Tinggalkan komen anda