KES saman difailkan oleh Dr Tan Yee Kew terhadap seorang ahli Umno berhubung tindakannya memuat naik hantaran (posting) di laman Facebook (FB) yang mengaitkan Ahli Parlimen Wangsa Maju itu dengan seorang tertuduh dalam kes menghina Nabi Muhammad SAW, selesai selepas lelaki itu mengemukakan permohonan maaf di Mahkamah Tinggi hari ini.
Mohd Zaid Zulkafli, 36, ketika membacakan pernyataan permohonan maafnya mengakui bahawa dia secara semberono telah menerbitkan kenyataan yang mengaitkan Tan dengan penjaja, Alvin Chow di laman FB miliknya sebanyak tiga kali pada 3 dan 4 Mac lepas, tanpa semakan terlebih dahulu.
Sehubungan itu, peniaga makanan itu berkata, beliau berasa amat kesal dan memohon maaf kerana mengaitkan Tan dengan kenyataan menghina Nabi Muhammad oleh individu lain yang telah menyebabkan nama ahli parlimen itu terjejas.
“Berkenaan persepsi hubungan beliau (Tan) dengan Alvin Chow, saya berpuas hati dengan penerangan dan penjelasan serta penafian oleh Tan Yee Kew dan oleh demikian, dengan rasa rendah diri sekali lagi saya ingin memohon maaf atas segala kesilapan dan keterlanjuran kata-kata saya yang mengundang fitnah terhadap “
“Saya mengakujanji bahawa saya tidak akan membuat, menerbitkan, mencetak atau mengulangi kenyataan yang serupa dan seumpamanya pada masa akan datang terhadap Tan Yee Kew dalam apa jua bentuk dan medium sekalipun,” katanya pada prosiding yang turut dihadiri peguamnya, N. Logendran.
Tan yang diwakili peguam Abd Halim Abdul Karim dan Nur Izzaida Zamani turut hadir di mahkamah.
Sejurus Mohd Zaid selesai membacakan pernyataan permohonan maafnya, Hakim Ahmad Bache merekodkan penghakiman persetujuan kedua-dua pihak.
Hakim Ahmad dalam pada itu turut berterima kasih kepada kedua-dua pihak yang telah mencapai penyelesaian dalam kes terbabit.
“Penyelesaian ini memupuk budaya maaf-memaafkan dan pada sama membantu mengurangkan beban tugas mahkamah yang perlu mengendalikan banyak kes termasuk kes saman fitnah seperti ini,” katanya.
Tan ketika ditemui pemberita berkata, beliau menerima permohonan maaf Mohd Zaid dan berharap kes itu akan dapat dijadikan pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya membuat sebarang pernyataan yang tidak benar serta boleh mengakibatkan ketidakharmonian agama dan kaum di negara ini.
Pada 6 Ogos lepas, Alvin Chow atau nama sebenarnya Chow Mun Fai dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam serta menghina kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di media sosial.
Pada Mei lepas, Tan menyaman Mohd Zaid selepas mendakwa defendan telah memuatnaik tiga hantaran yang memfitnahnya di FB milik lelaki itu di bawah nama ‘Zaid Zulkafli’, pada pukul 4.41 petang, 3 Mac lepas dan pukul 8.32 pagi serta 7.51 petang pada 4 Mac lepas.
Dalam pernyataan tuntutannya, ahli parlimen itu antara lain mendakwa akibat hantaran-hantaran tersebut, reputasi dan maruah beliau sebagai ahli parlimen tercemar, serta menyebabkan kebencian, ejekan, gangguan serta penghinaan awam kerana dakwaan penglibatannya dalam menghina Nabi Muhammad SAW serta Islam oleh Alvin Chow.
Menurut Tan, penerbitan ketiga-tiga hantaran itu dilakukan pada tempoh masa yang sensitif yang mana terdapat empat kes dilaporkan mengenai penghinaan Nabi serta agama Islam ketika itu yang menyebabkan bantahan awam dan ini menunjukkan bahawa defendan berniat menujukan sentimen tersebut terhadap beliau.
Tinggalkan komen anda