Kereta terbang program paling tak guna – Perwakilan Amanah


shadow

Perwakilan Amanah hari ini meluahkan rasa kecewa terhadap program kereta terbang yang dibawa oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof.

Wakil Pahang, Mohd Fadzil Mohd Ramly berkata program tersebut merupakan projek paling tidak berguna yang dilakukan kerajaan.

“Apa yang berlaku kami di bawah malu muka untuk pertahankan kereta terbang, antara program yang paling tak guna dilakukan oleh kerajaan.

“…malu muka kita nak pertahankan isu kereta terbang pada rakyat,” katanya ketika membahaskan Pidato Presiden di Konvensyen Nasional 2019 Amanah di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC), Shah Alam, hari ini.Iklan

Kementerian Pembangunan Usahawan pada 29 November lalu menjelaskan ia tidak mempunyai peruntukan dan kuasa untuk meluluskan dana bagi tujuan pelaburan dalam sebarang projek dron.

“Projek ini (super drone) diterajui oleh sektor swasta dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat tempatan,” kata kementerian dalam suatu kenyataan.

Kementerian itu juga memaklumkan RM20 juta yang disediakan Might (Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi) itu tiada kaitan dengan pembangunan projek dron dan kereta terbang/ super drone (mobiliti udara) yang dibangunkan oleh Aerodyne Group.

PAC dalam laporannya mengenai projek super drone yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Nov lalu menyatakan Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof membuat pengumuman terlalu awal mengenai projek tersebut.

Menurut laporan berkenaan, PAC juga mendapati Might melalui VentureTech Sdn Bhd (VTSB) telah meluluskan pelaburan dalam Aerodyne sebanyak RM20 juta yang disalurkan pada 1 Nov lepas.

PAC juga meminta Jabatan Audit Negara (JAN) supaya membuat pengauditan terhadap pelaburan RM20 juta itu.

Sementara itu, Mohd Fadzil turut berkata kemarahan rakyat hari ini semakin memuncak apabila kerajaan mengumumkan Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan dilaksanakan bermula Januari tahun depan.

Justeru, kata Mohd Fadzil kerajaan perlu menangguhkan program tersebut buat sementara waktu.

“Pembangunan pelaksanaan Program Subsidi Petrol menimbulkan kemarahan rakyat, harga dinaikkan satu sen seminggu hingga mencapai harga pasaran.

“Alasan diberikan untuk pastikan harga barangan tidak naik. Apa cerita ini? Saya minta bila kita berhadapan kemarahan rakyat ini, tolong tangguhkan sementara PSP ini bagi memastikan rakyat tidak terbeban,” katanya.

Selain itu, Mohd Fadzil (gambar, bawah) juga menegur sikap pemimpin kerajaan Pakatan Harapn yang dilihat lebih ghairah melaksanakan program tidak sepatutnya diutamakan berbanding isu rakyat.

“Pemimpin PH gairah untuk membuat perubahan-perubahan Ratifikasi Icerd, pembangunan Kampung Baru, tulisan Jawi, undi 18 tahun, menggabungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Unisza, semuanya belum tentu untungnya tetapi kita telah menciptakan satu perubahan yang tidak perlu (unneeded changes) yang menyebabkan perang yang tidak diingini (unwanted war) berlaku kepada kerajaan Pakatan Harapan.

“Sepatutnya kerajaan hari ini mengekalkan kestabilan dan mengambil langkah-lahkah yang populis. Kita seharusnya melakukan apa yang disebut sebagai MIC – maintain dulu, improve dan kemudian barulah change.

“Kita tidak boleh buat CIM – Change, improve and maintain,” katanya selain menambah beliau kesal dengan tindakan kerajaan menurunkan elaun kepada nelayan yang dierikan oleh kerajaan BN sebelum ini, pada kadar RM250.

Katanya, pengurangan kadar elaun kepada nelayan merupakan langkah terkebelakang.

Tambah Mohd Fadzil lagi, kerajaan PH tidak seharusnya terlalu ghairah dalam memberi bantuan kepada golongan B40 hingga mengabaikan golongan M40 dan B20.

“Kita juga berhadapan kemarahan rakyat, dulu dapat BR1M sekarang dapat BSH tapi ada yang dulu dapat sekarang tak dapat.

“Sebab itu kajian dibuat kemenangan Pakatan Harapan antaranya disumbangkan M40 dan B20, saya faham kerajaan obses bantu B40 tapi jangan hukum M40 B20. PSP adalah contoh hukuman kepada M40 B20,” katanya.

Mohd Fadzil mengingatkan menteri dan timbalan menteri PH agar tidak mengabaikan pekerja parti.

“Tahu mereka baru tetapi itu bukan alasan, menteri dan timbalan menteri bukanlah perasmi program sahaja, ada menteri yang hilang kawalan terhadap jentera kerajaan, sampai kawasan sendiri kena haram.

“Harap menteri jangan abai pekerja parti,menteri kena cakap bahasa rakyat, jangan cakap bahasa retorik,” katanya.

Mohd Fadzil turut mengulas insiden yang berlaku dalam Kongres PKR di Melaka semalam, berkata Amanah perlu menjadi gam yang paling kuat serta kekal sebagai parti yang mendamaikan parti komponen PH.

“Amanah mesti menjadi gam yang paling kuat untuk menasihati rakan-rakan komponen kita (PH) untuk mengurangkan ketegangan parti mereka.

“Rakyat sudah meluat dengan percaturan untuk menukarkan perdana menteri. Krisis dalaman PKR, maka Amanah harus kekal sebagai parti yang mendamaikan komponen Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, perwakilan dari Johor, Noor Khalim Sakib mengingatkan kepemimpinan Amanah supaya berpegang kepada janji dalam PH terutama membabitkan isu jawatan perdana menteri.

“Semoga janji yang sudah dimeterai itu dapat ditunaikan dalam masa dan suasana yang tepat dan dalam keadaan yang dapat berjalan dengan baik tanpa ada titik bengik berlaku,” katanya.

Noor Khalim juga berkata keputusan PRK Tanjung Piai, November lalu adalah satu isyarat jelas kepada parti komponen kerajaan dan aberharap ia menjadi iktibar yang bermanfaat untuk semua.

Tanpa menyebut nama parti politik tertentu, Noor Khalim turut menyentuh wujud rakan komponen yang bertindak seperti ketua ketika kempen PRK di Tanjung Piai.

“Di Tanjung Piai juga kita lihat ada bibit negatif, ada yang mahu menjadi ‘big boss’ dalam komponen PH sendiri.

“Kami mengharapkan pimpinan di peringkat nasional dapat menyelesaikan masalah ini. Sekiranya ini berterusan maka ada yang merasakan parti komponen ini sebagai ‘big boss’ dan sudah parti ada parti yang boleh dipijak dan sebagainya,” katanya.

Tinggalkan komen anda