Kepentingan PKR lebih utama, kata Akmal Nasir


shadow

KETUA Pemuda PKR Akmal Nasir menyambut baik keputusan mesyuarat khas biro politik parti mengarahkan kongres sayap Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR dirasmikan serentak oleh timbalan presiden Mohamed Azmin Ali di Melaka, esok.

Katanya, keputusan itu bukti kepentingan parti lebih utama daripada mana-mana pihak.

“Perbincangan (dalam mesyuarat biro politik) tadi secara asasnya kita letak kepentingan parti sebagai perkara utama.

“Lagipun beliau (Azmin) dah bagi komitmen, dan hakikatnya sebelum jumpa Anwar Ibrahim beliau (Azmin) beri komitmen kepada kongres… jadi kita alu-alukan kepada mana- mana pimpinan untuk hadir ke kongres (di Melaka),” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen selepas mesyuarat tersebut.

Mesyuarat petang tadi membuat keputusan itu selepas Pemuda PKR sebelum ini menetapkan perasmian kongres tahunannya dibuat berasingan pada Jumaat.

Akmal sebelum ini mempertahankan keputusan pihaknya membatalkan jemputan terhadap Azmin yang sebaliknya digantikan dengan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga pengerusi penasihat parti merangkap bekas presiden parti.

Mesyuarat yang berlangsung di Bangunan Parlimen itu adalah yang pertama dihadiri oleh Azmin dan beberapa penyokongnya sejak pemilihan parti setahun yang lalu.

Antara yang hadir dan memasuki mesyuarat bersama Azmin termasuk naib presiden Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin, serta ahli jawatankuasa Majlis Pimpinan Pusat Abdul Rashid Hasnon, Amirudin Shari, R Sivarasa dan Elizabeth Wong.

Sementara itu, timbalan Akmal, Hilman Idham mengeluarkan satu kenyataan rasmi bagi pihak AMK mengalu-alukan usaha memperkukuhkan parti menjelang kongres hujung minggu ini.

“AMK Malaysia juga amat menghargai kepimpinan tersebut dalam menyelesaikan isu perasmian Kongres Nasional AMK 2019 yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu,” katanya.

Hilman yang tidak sebulu dengan Akmal sejak pemilihan parti setahun lalu sebelum ini mengetuai kumpulan 21 pimpinan Pemuda PKR membantah keputusan Majlis Pimpinan Pusat AMK tidak menjemput Azmin untuk merasmikan kongres AMK.

Kumpulan 21 pemimpin Pemuda PKR, termasuk dirinya, adalah mereka yang terpilih menganggotai Majlis Pimpinan Pusat sayap itu setahun yang lalu.

Tindakan mereka menyebabkan ada gesaan agar parti mengambil tindakan terhadap Hilman.

Susulan itu, Hilman mengatur satu mesyuarat pimpinan sayap Pemuda PKR di peringkat cabang, dengan 132 daripada 196 dilaporkan hadir.

Mesyuarat itu membuat ketetapan menganjurkan kongres tahunan sayap Pemuda PKR sehari lebih awal iaitu pada 5 Disember dan akan dirasmikan oleh timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali.

Pengurusan parti bagaimanapun kemudian menetapkan perasmian kongres Pemuda dan Wanita PKR dibuat berasingan pada esok dan lusa, sebelum mesyuarat biro politik hari ini menukar keputusan awal itu.

Tinggalkan komen anda