Kajian NCD untuk pupuk tingkah laku pemanduan lebih baik, kata kementerian


shadow

KERAJAAN sedang menjalankan kajian mengenai Diskaun Tanpa Tuntutan (No Claims Discount atau NCD) Motor sebagai usaha untuk memupuk tingkah laku pemanduan yang baik dan menggalakkan keselamatan jalan raya, kata Kementerian Kewangan.

Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama industri insurans dan takaful di Malaysia sedang membangunkan beberapa cadangan untuk fasa Liberalisasi Tarif Motor dan Tarif Kebakaran yang seterusnya, disasarkan untuk separuh kedua tahun 2020, menurut kenyataan kementerian itu hari ini.

“Ini sebahagian daripada usaha pembaharuan untuk mempertingkatkan kemampanan, serta memelihara kestabilan pasaran insurans dan takaful secara menyeluruh. 

“Usaha bersama pelbagai pemegang taruh ini merangkumi kajian struktur NCD supaya memberikan fleksibiliti dan tanggungjawab yang lebih besar kepada semua pihak, bagi menggalakkan pemanduan yang lebih selamat dengan memberi ganjaran untuk tingkah laku baik di jalan raya.”

NCD adalah diskaun yang diberikan oleh pihak insurans atau takaful kepada pemilik polisi kenderaan apabila pemegang polisi tidak membuat sebarang tuntutan pada tahun tersebut. 

Kementerian Kewangan berkata usaha tersebut selari dengan Rancangan Keselamatan Jalan 2014-2020 oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia yang bermatlamat untuk mengurangkan jumlah kematian dan kecederaan serius sebanyak 50% menjelang 2020.

Kementerian menambah, Liberalisasi berfasa Tarif Motor yang bermula pada 1 Julai 2016 memperkenalkan dua perubahan penting.

Perubahan tersebut ialah kebolehubahan untuk penanggung insurans dan pengendali takaful untuk menawarkan produk baharu motor dan perlindungan tambahan yang tidak ditetapkan di bawah tarif sebelumnya, serta kebolehubahan oleh penanggung insurans dan pengendali takaful untuk menetapkan harga premium bagi produk Motor Komprehensif, dan produk Kebakaran dan Kecurian Motor Pihak Ketiga. 

Tinggalkan komen anda