Jualan bersih rumah agam Riza Aziz di Beverly Hills AS$7.3 juta


shadow

Jualan interlokutori rumah agam milik Riza Aziz yang dikaitkan dengan skandal 1MDB di Beverly Hills, California mencatatkan jualan bersih AS$ 7.3 juta, menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini.

Berdasarkan perintah mahkamah sebelum ini pada 21 Ogos, wang hasil jualan itu ditahan oleh Marsyal Perkhidmatan Amerika Syarikat sementara menunggu kes itu selesai. Wang berkenaan menjadi subjek kepada saman pelucuthakan sivil terhadap rumah agam itu.

Dalam saman yang dimulakan pada tahun 2017, Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) Syarikat mendakwa ahli perniagaan, Jho Low menyalurkan lebih AS$ 368 juta kepada Riza yang juga anak tiri kepada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Daripada jumlah itu, sebanyak AS$ 16,697,190 dikatakan dibelanjakan untuk memperoleh rumah yang terletak di North Hillcrest Road itu.Iklan

DOJ memohon pelucuthakan harta itu sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan kembali wang yang disalahgunakan daripada 1MDB. 

Riza bagaimanapun mencabar saman berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju untuk jualan interlokutori bagi hartanah berkenaan dan beberapa yang lain, dengan menyebut mengenai kos yang ditanggung bagi mengekalkan hartanah berkenaan dan cukai yang dikenakan.

Mahkamah Daerah California Pusat mengarahkan hasil jualan itu digunakan untuk membayar cukai hartanah tertunggak, yuran pengurusan, baki pinjaman pembinaan, dan bayaran lain.

Kemudian, wang itu akan membiayai kos jualan dan perbelanjaan berkaitan. Baki wang yang tinggal akan disalur ke Marshall Perkhidmatan AS untuk disimpan dengan selamat.

Marshall Perkhidmatan Amerika Syarikat mengesahkan menerima AS$ 7,318,134.70 berhubung jualan berkenaan pada 13 Nov. 

Resit difailkan di mahkamah California pada 25 Nov, tetapi hanya dimasukkan dalam rekod semalam.

Tinggalkan komen anda