JENAZAH penyanyi popular era 80-an Nassier Wahab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah kira-kira jam 11.35 pagi.
Nassier Wahab atau nama sebenarnya Mohd Nassir Abd Wahab, 57, meninggal dunia di Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya pada pukul 12.45 pagi ini akibat ketumbuhan pada gusi.
Pada 1 Jun lepas, Allahyarham yang popular dengan lagu “Sekali Aku Jatuh Cinta” itu pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan pada rahang kiri.
Terdahulu, jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Sirajuddin Al-Anuar, Kampung Batu Belah sebelum dikebumikan.
Allahyarham meninggalkan isteri Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah Mohd Nassir, 22 tahun.
Antara rakan artis yang turut menziarahi jenazah semasa pengebumiannya ialah M Nasir, DJ Dave, Nashrudin Elias (Nash), Herman Tino dan Ramlah Ram.
Fatimah yang ditemui pemberita selepas selesai pengebumian itu memberitahu bahawa pada Selasa lepas, arwah suaminya dimasukkan ke UMSC untuk proses menambah darah susulan penyakit yang dialaminya.
Namun, sejak ditahan wad sehingga semalam, Allahyarham Nassier mengalami demam dan diberikan ubat untuk meredakan kesakitannya tetapi beberapa jam selepas itu, beliau melihat suaminya terbangun dari tidur dan terus muntah darah dengan banyak hingga tidak sedarkan diri.
“Doktor ada membuat Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) selama 40 minit tetapi beliau terus tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Dalam pada itu, rakan artis Nashrudin atau Nash berkata sepanjang hidup Nassier, beliau disifatkan sebagai sahabat yang baik dan mempunyai sifat menghormati yang sangat tinggi kepada orang lain
“Arwah adalah rakan untuk solat Subuh saya kerana hampir setiap hari, saya dan arwah akan berhubung melalui Whatsapp untuk saling mengingatkan untuk menunaikan Rukun Islam itu. Kali terakhir saya berhubung dengannya adalah tiga hari lepas,” katanya.
Tinggalkan komen anda