Jenazah 4 sekeluarga dikebumikan di Christchurch esok


shadow

JENAZAH empat rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di New Zealand, pada Jumaat lepas akan dikebumikan di Memorial Park Cemetery, Christchurch pada 12.30 tengah hari, waktu tempatan esok.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan jenazah empat sekeluarga sebelum itu akan disembahyangkan di Masjid Al Noor.

“Kementerian Luar merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan serta komuniti Malaysia di New Zealand yang menghulurkan bantuan daripada pelbagai aspek kepada waris mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.

Kemalangan di State Highway 1, Kaikoura, New Zealand, pada Jumaat lepas itu mengakibatkan kematian pasangan suami isteri Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, serta dua anak mereka.

Bagaimanapun, seorang daripada anak mangsa yang parah, Nur Irfan, 15, yang juga anak sulung pasangan suami isteri itu, disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) semalam.

Anak bongsu mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, Nur Arifah, 11, masih mendapat rawatan di Hospital Wellington dan dilaporkan stabil.

Tinggalkan komen anda