JBPM pindah aset dari Pantai Barat ke Terengganu hadapi banjir gelombang keempat


shadow

KUALA NERUS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memindahkan beberapa aset kenderaan dari negeri Pantai Barat ke Terengganu sebagai persediaan menghadapi banjir gelombang keempat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata langkah tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan logistik dan masa tindak balas bagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

Beliau berkata ia juga berikutan jumlah aset terutama lori melebihi lima tan yang ada di dalam negeri pada masa ini tidak mencukupi untuk menampung sekiranya berlaku bencana banjir besar memandangkan Terengganu mempunyai banyak lokasi berisiko banjir dan kawasan pantai yang luas.

“Banjir gelombang keempat yang dijangka berlaku pada 24 hingga 25 Disember ini berkemungkinan lebih besar berbanding gelombang ketiga kerana berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan lebat.

“Masalah kita di Terengganu terutama di kawasan luar bandar ialah orang ramai suka menunggu saat-saat akhir dan kritikal untuk berpindah, jadi kita perlu banyak lori untuk memindahkan penduduk dari banyak kampung secara serentak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Apresiasi Usahawan Melayu Terengganu (MAPUMT) 2019 di sini.

Mengulas lanjut Raja Kamarul Bahrin Shah berkata pihak kerajaan juga sedang meneliti keperluan bagi menambah aset-aset penting seperti lori besar dan helikopter untuk pelbagai kegunaan.

Menurut beliau kerajaan tidak boleh berpuas hati dengan jumlah aset yang ada kerana jumlah populasi penduduk yang semakin meningkat dan memerlukan tambahan aset untuk tujuan mencari dan menyelamat (SAR), memindahkan mangsa banjir, kebakaran hutan dan sebagainya.

“Sebagai contoh JBPM sekarang hanya ada lapan helikopter sahaja untuk kegunaan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Jadi dalam mesyuarat khas bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail minggu lepas kita dah bincang dan nilai keperluan untuk tambah aset sedia ada,” katanya.

Katanya lagi tambahan aset baharu itu boleh juga digunakan oleh agensi-agensi lain seperti polis dan maritim untuk keperluan yang sesuai.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda