Highland Towers akan diroboh hujung tahun ini, kata Zuraida


shadow

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pihaknya kini sedang menunggu kelulusan kerajaan negeri untuk pengambilalihan tanah di Highland Towers dan memulakan aktiviti perobohan.  

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya telah meminta ia dilakukan menjelang akhir tahun 2019.

“Perobohan itu di bawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). Harapnya ia akan dilakukan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penduduk Taman Sri Ukay Hillview di Ampang Selangor mempersoalkan bila Zuraida akan mengotakan janjinya untuk merobohkan bangunan berkenaan dan menjadikan kawasan itu taman memorial.

Mereka berkata beliau terus membuat kenyataan berhubung perobohan itu tetapi tidak ada sebarang kerja dilakukan.

Zuraida sebelum ini berkata kedua-dua blok kondominium yang ditinggalkan 26 tahun lalu akibat tanah runtuh akan dirobohkan pada Jun.

Penduduk berkata jika perobohan tidak berlaku tahun ini, sekurang-kurangnya mereka dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.

Zuraida memberi jaminan kepada penduduk bahawa MPAJ akan memberitahu mereka mengenai perobohan itu. 

Beliau berkata semua isu yang berkaitan dengan Highland Towers telah diselesaikan dan rancangan itu akan diteruskan untuk memulihkan tanah itu menjadi taman memorial bagi mangsa yang terkorban di situ.

Pembangunan semula ini dibiayai oleh MPAJ dengan pemaju Highland Towers telah berjanji untuk menyumbang RM2 juta.

Pada 11 Disember, 1993 satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang itu runtuh, menyebabkan 48 terbunuh dan ratusan yang lain cedera.

Dilaporkan tanahnya tidak stabil selepas 10 hari hujan, yang menyebabkan berlaku tanah runtuh.

Penduduk di dua blok yang lain dipindahkan serta-merta selepas kejadian itu.

Tapak kondominium itu terbiar kosong hingga sekarang. 

Tinggalkan komen anda