Perbicaraan kes jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-64 hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Malaysiakini membawakan anda laporan langsung prosiding.
12.53 tengah hari: Prosiding berehat untuk makan tengah hari dan akan disambung pukul 2.30 petang.
12.24 tengah hari: Najib Razak memberi keterangan bahawa beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berlaku dalam akaun banknya yang diurusakan oleh orang lain.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh DPP V Sithambaram, yang bertanya sama ada tertuduh bertanggungjawab secara peribadi terhadap apa yang berlaku di dalam akaun AmBank berakhir 898, 906 dan 880.
Ketiga-tiga akaun ini memainkan peranan penting dalam kes pendakwaan RM42 juta SRC International terhadap Najib.
Sithambaram: Adakah anda bertanggungjawab secara peribadi untuk urus niaga perbankan anda?
Najib: Saya telah mewakilkan (orang lain untuk menguruskan akaun itu).
Sithambaram: Adakah anda masih bertanggungjawab?
Najib: Jika ada masalah, bagaimanakah saya boleh dipertanggungjawabkan?
Sithambaram: Adakah anda secara peribadi bertanggungjawab walau apa pun orang lain (seperti bekas CEO SRC Nik Faisal Ariff Kamil yang diberi kuasa untuk menguruskan akaun Najib) buat?
Najib: Saya tidak boleh dipertanggungjawabkan jika ada masalah.
11.15 pagi: Mahkamah mendengar dari Najib Razak bahawa hanya orang yang mengendalikan akaun banknya akan dimaklumkan jika penggera berbunyi pada transaksi yang mencurigakan.
Najib berkata demikian ketika disoal oleh DPP V Sithambaram mengenai RM32 juta dalam akaunnya pada 2015, yang bertujuan untuk membayar balik pinjaman dari Permai Binaraya Sdn Bhd dan Putra Perdana Sdn Bhd.
Sithambaram: Jadi jika RM32 juta masuk ke akaun anda, dan keluar dari akaun, itu akan menjadi sesuatu yang akan membunyikan loceng penggera.
Najib: Bagi mereka yang menguruskan akaun saya. Kerana saya tidak menguruskan akaun saya sendiri.
10.35 pagi: Mahkamah menyaksikan tertuduh Najib Razak dan peguam veteran V Sithambaram, yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya, bertikam lidah berhubung tandatangan bekas perdana menteri itu pada dokumen yang berkaitan dengan SRC International.
Ia berlaku selepas Najib dilihat enggan memberikan jawapan langsung kepada soalan-soalan Sithambaram, termasuk ketika peguam menimbulkan pertanyaan “ya atau tidak” kepadanya.
Soalan-soalan Sithambaram antara lain menyentuh penafian Najib berhubung tandatangannya pada dokumen SRC International.
DPP memaklumkan kepada Najib bahawa beliau telah mengesahkan perkara itu ketika ditanya oleh SPRM.
Bagaimanapun, Najib menafikannya.
Sithambaram: Apabila anda ditunjukkan salinan (semasa siasatan), anda mengesahkan tandatangan itu tanpa sebarang bantahan pada peringkat itu.
Najib: Pada peringkat itu.
Sithambaram: Jadi selepas duduk di mahkamah dan mendengar pemeriksaan balas oleh peguam anda, anda katakan, ini bukan tanda tangan anda.
Najib: Tidak. Saya tidak bersetuju.
10.12 pagi: Prosiding dimulakan. Najib Razak masuk kandang saksi.
Turut kelihatan di mahkamah, peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah.
9.32 pagi: Ketua peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah tidak dilihat di dalam mahkamah.
Difahamkan Shafee sedang menghadiri kes jenayah yang berasingan yang melibatkan dirinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum dia boleh menghadiri kes Najib.
9.10 pagi: Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah dilihat duduk di barisan depan galeri awam.
Beliau sedang menunggu sebutan kes IPIC berkaitan 1MDB terhadap Najib dan dirinya.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan menghadiri sebutan kes IPIC terlebih dahulu sebelum mengangani kes SRC Najib.
9.05 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak dilihat duduk di barisan depan galeri awam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menunggu prosiding bermula.
Turut kelihatan DPP V Sithambaram.
Pendakwaan dijangka akan menyoal Najib Razak secara terperinci berhubung setiap hujah yang boleh dipertikaikan dalam kenyataan kesaksian bekas perdana menteri itu bagi perbicaraan kes SRC International.
Pada akhir prosiding Rabu lepas, Timbalan pendakwa raya (DPP) V Sithambaram memaklumkan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengenai pelan pendakwaan selepas Peguam Negara Tommy Thomas selesai pemeriksaan balas awal terhadap Najib.
Tidak seperti pemeriksaan balas awal selama dua hari yang dijalankan oleh Thomas, pemeriksaan balas yang akan dijalankan Sithambaram dijangka akan mengambil masa yang lebih lama.
Hakim sebelum ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan tarikh perbicaraan yang pada mulanya ditetapkan pada hari Khamis minggu lalu serta pada hari Isnin dan semalam agar pihak pendakwaan dapat membuat persediaan yang mencukupi.
Semasa menjalani pemeriksaan balas oleh Thomas pada Rabu minggu lalu, Najib memberi keterangan bahawa beliau juga ingin tahu apa yang berlaku kepada RM4 bilion dana yang dipinam SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Pemeriksaan balas Thomas terhadap Najib juga mendedahkan kepada mahkamah bahawa SRC International mula memohon pinjaman berbilion ringgit daripada KWAP pada tahun 2011, beberapa bulan sebelum lembaga pengarah syarikat SRC International dilantik.
Ini merupakan kali pertama Najib akan muncul di khalayak ramai selepas Akuan Berkanun (SD) bekas polis Azilah Hadri diterbitkan oleh Malaysiakini dua hari lalu.
DAlam SD itu, Azilah yang kini menunggu hukuman gantung mendakwa bahawa dia telah diperintahkan oleh Najib untuk membunuh Altantuya Shaariiibuu. Najib menafikan tuduhan itu, dan menyifatkan SD berkenaan sebagai rekaan.
Tinggalkan komen anda