Hadi: Sebar Islam lebih mudah dengan bahasa ibunda, bukan Jawi


shadow

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berpandangan masalah Islamofobia merupakan sebab penentangan terhadap tulisan Jawi pada masa ini.

Ia di sebalik konsep Islam yang tidak menggunakan paksaan dalam dakwah agama itu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, katanya lagi, sebenarnya dakwah Islam lebih mudah jika disampaikan dalam bahasa Ibunda masyarakat bukan Islam sendiri, dan bukannya dengan menggunakan tulisan Jawi.

“Maka janganlah jadikan satu-satunya sebab masuk Islam kerana tulisan Jawi.Iklan

“mereka yang menunjukkan penentangan terhadap Bahasa Melayu tulisan Jawi kerana pengaruh Islamofobia terhadap umat Islam yang sedang ditaja oleh musuh Islam di seluruh dunia.

“Kami menggalakkan penganut Islam mempelajari pelbagai bahasa dunia termasuk Bahasa Cina dan Tamil, serta tidak memaksa penganut bukan Islam menukar bahasanya setelah masuk Islam. Maka sangat tidak saksama jika mereka menghalang kaumnya mempelajari bahasa kami…,” katanya lagi.

Pandangan itu senada dengan apa yang diperkatakan Setiausaha Agung Dong Zong Ng Chai Heng bahawa wujud rasa takut di kalangan pihaknya bahawa pengenalan tulisan Jawi akan “mengislamkan” murid.

“Bukan takut kepada Jawi, itu tak betul. Tapi sebenarnya, takut diislamkan…Ini bukan apa yang saya lihat, tapi begitulah yang diberitahu. Betul atau tidak, saya tak pasti. Tapi apa yang saya nak beritahu di sini, faktor ketakutan itu ada,” katanya ketika berucap di sebuah forum pada 26 Disember lalu.

Desakan utama Dong Jiao Zong dalam isu pengenalan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular adalah berkenaan penglibatan lembaga pengelola sekolah dalam proses membuat keputusan.

Setakat ini, Kementerian Pendidikan menetapkan tulisan Jawi hanya akan diajar dengan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa murid.

Dalam pada itu, Hadi dengan nada tegas sekali lagi membangkitkan penghormatan terhadap orang Melayu sebagai orang yang “berpijak dahulu di Alam Melayu”.

“Maka adalah menjadi kewajipan kepada kaum Melayu berusaha untuk kembali kepada tulisan asalnya yang telah dirosakkan oleh penjajah Barat.

“Kaum lain yang datang ke Tanah Melayu dan telah diberi hak berbahasa mereka sendiri juga berkewajipan mempelajari bahasa Alam Melayu ini. Jangan bersikap fanatik dengan bahasa kaum mereka di negeri asal usul dan berputar melawan arus di Alam Melayu ini,” katanya.

Tinggalkan komen anda