POLIS menumpaskan geng curi motosikal jenis Yamaha 15 atau lebih dikenali dengan Y15 yang aktif menjalankan kegiatan jenayah itu di Pulau Pinang dan Kedah, selepas menahan lima lelaki dalam serbuan berasingan di Kulim, Kedah semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lima lelaki berusia 28 hingga 42 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Taman Jati dan Taman Lembah Impiana di Kulim bermula pukul 4.00 petang, semalam susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki berhubung kehilangan sebuah motosikal jenis Y15 di Machang Bubuk, di Bukit Mertajam pada Rabu.
Siasatan awal mendapati geng itu mempunyai peranan masing-masing dengan dua daripadanya akan mencuri sebelum menyerahkan kepada dua lagi rakannya yang akan mengubahsuai motosikal yang dicuri itu manakala seorang lagi suspek bertindak sebagai orang tengah untuk menjual kenderaan itu.
“Siasatan juga mendapati lima lelaki itu aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal di sekitar Kulim dan Padang Serai di Kedah serta SPT dan Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Mereka dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak awal tahun ini dan telah mencuri puluhan motosikal terutama jenis Y15 kerana mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai terutama golongan muda,” katanya.
Nik Ros Azhan berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan para pembeli motosikal curi daripada lima lelaki itu dan ujian air kencing juga mendapati semua mereka positif dadah.
Beliau berkata lima lelaki yang mempunyai puluhan rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. –
Tinggalkan komen anda