Faktor sensitiviti masyarakat dorong polis batal segmen baju renang


shadow

PIHAK polis mengambil kira sensitiviti masyarakat apabila mengarahkan segmen baju renang bagi pertandingan ratu cantik dibatalkan, kata Ketua Polis Daerah Sentul, S Shanmugamoorthy.

Shanmugamoorthy berkata penganjur Miss Astro Chinese International Pageant (Macip) bersetuju dengan syarat itu kerana ingin meneruskan acara memandangkan banyak kos, wang dan masa sudah dikeluarkan.

“Tetapi, pada masa yang sama, mereka mempunyai kewajipan moral untuk memastikan sensitiviti (masyarakat) diambil kira.

“Saya kekal dengan pendirian saya sebelum ini. Bagaimanapun acara itu sudah berakhir. Jangalah kita memanjangkannya lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata pihak polis dan bukannya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang meminta supaya segman baju renang dalam pertandingan itu dibatalkan.

“Saya dimaklumkan, pihak DBKL memberikan kelulusan kepada Astro untuk menganjurkan pertandingan Macip tersebut,” katanya.

Lim berkata lesen yang dikeluarkan oleh DBKL tertakluk kepada maklum balas polis, dan polis Sentul mempunyai bidang kuasa kerana acara diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia.

Beliau juga tidak bersetuju dengan syarat “kecil” yang dikenakan oleh ketua polis kerana segmen itu menjadi sebahagian daripada pertandingan selama 20 tahun tanpa sebarang masalah.

Tinggalkan komen anda