Duit simpanan RM12,000 lesap


shadow

KUANTAN – Seorang suri rumah berusia 21 tahun berputih mata selepas wang simpanan lebih RM12,000 dalam dua akaun bank lesap ditipu ‘scammer’ semalam.

Wanita dari Raub itu diperdaya dua individu yang menyamar sebagai pegawai perundangan Mahkamah Tinggi Johor dan pegawai polis berpangkat sarjan dari kontinjen Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Mahkamah Tinggi Johor kelmarin.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan mempunyai tunggakan cukai lebih RM18,000 yang perlu dijelaskan segera.

“Kemudian, mangsa dimaklumkan mungkin identiti disalah guna pihak lain dan panggilan disambung kepada seorang pegawai polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk semakan.

“Hasil semakan ‘polis’ itu mendapati maklumat mangsa disalah guna pihak lain dan dia dikehendaki menyerahkan semua maklumat perbankan internet bagi tujuan siasatan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas menyerahkan maklumat berkenaan, mangsa menerima nombor kod pengesahan transaksi (TAC) dan menyerahkan kepada pegawai polis berkenaan.

“Selepas selesai, mangsa mula curiga lalu membuat semakan ke atas dua akaun banknya dan mendapati berlaku dua transaksi pindahan wang dari dua akaunnya itu dengan jumlah RM4,141 dan RM8,568 ke akaun atas nama seorang wanita tidak dikenali.

“Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tinggalkan komen anda