Daulah terpendam: Kita boleh bendung – PM


shadow

LANGKAWI: Kerajaan akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan berlaku daulah terpendam dalam kalangan kakitangan awam sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, beliau perlu memperoleh maklumat terperinci berhubung isu berkenaan sebelum kerajaan dapat mengambil sebarang tindakan lanjut.

Bagaimanapun, beliau yakin masalah itu dapat diselesaikan dan pentadbiran kerajaan boleh berfungsi dengan baik.

“Masalah dendam (terhadap kerajaan) memang ada tetapi saya ingat kita boleh bendung perkara ini, ia bukan masalah.

“Ketika saya menjadi Perdana Menteri (keempat) dahulu pun, berlaku banyak masalah tetapi kita boleh mentadbir juga,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Jabatan dan Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Langkawi, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, dipetik berkata tiada berlaku kes ketidakpatuhan kakitangan awam terhadap kerajaan dalam melaksanakan dasarnya.

Media melaporkan Vui Keong berkata, sebahagian besar kakitangan awam menunjukkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan seperti termaktub dalam Peraturan Pegawai Awam, selain bersikap neutral dalam menjalankan tugas.

Ditanya sama ada pertukaran Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ada kaitan dengan isu daulah terpendam, Dr Mahathir berkata, beliau tidak pasti, namun akan mendapatkan maklumat mengenainya.

Tinggalkan komen anda