DAP ambil penulis media sosial, bukan cybertrooper, kata Pua


shadow

DAP hari ini menafikan tuduhan bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwa parti itu mengambil kerja 100 cybertrooper menerusi JobStreet.

Pemimpin parti itu yang juga Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkata pada satu sidang media bahawa parti itu hanya mengambil dua hingga lima “penulis media sosial” untuk bekerja dengan DAP.

“Najib Razak dengan bangganya mendakwa kami bayar 100 cybertrooper untuk bekerja dengan DAP. Bukankah itu penipuan terang-terangan daripada seorang bekas perdana menteri?

“Kami hanya cari dua hingga lima orang untuk bekerja dan mereka bukan cybertrooper tetapi penulis media sosial,” kata Pua.

Najib di Facebook semalam menuduh DAP membayar gaji setinggi RM5,000 kepada cybertrooper.

Najib berkata DAP terdesak selepas Pakatan Harapan (PH) kalah empat pilihan raya kecil berturut-turut.

“Sekian lama, PH dakwa BN bayar RM3,000 sebulan untuk cybertrooper. Kini DAP mahu rekrut cybertrooper pulak dengan gaji setinggi RM5,000 sebulan melalui JobStreet.

“Kononnya untuk lawan berita palsu. Sebenarnya nak sebar lagi berita palsu,” kata Najib.

Pua bagaimanapun tidak menafikan parti membayar RM5,000 tetapi menjelaskan gaji itu untuk penulis berpengalaman.

“Betul kami muat naik jawatan kosong di JobStreet dan tangga gaji bergantung pada pengalaman anda,” katanya.

Tinggalkan komen anda