Bina laluan alternatif untuk penduduk


shadow

JALAN alternatif sementara akan dibina di Kilometer 3 Jalan Tamparuli – Kiulu yang terputus akibat tanah runtuh pagi hari ini, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.

Beliau berkata, kerja-kerja membina jalan alternatif sementara di tepi jalan berkenaan akan dilakukan segera bermula hari ini dan dijangka boleh dilalui kenderaan dalam tempoh kurang 24 jam.

“Pergerakan tanah akibat hujan menyebabkan jalan raya itu runtuh awal pagi tadi dan ketika ini, penduduk kampung di Kiulu menggunakan satu lagi jalan yang ada menghubungkan ke kampung sekitar Kiulu.

“Kita akan mempercepatkan kerja membina jalan alternatif itu,” katanya ketika ditemui pemberita di kawasan jalan runtuh, hari ini.

–– ADVERTISEMENT ––

Beliau berkata, kos pembaikan jalan raya runtuh itu dianggarkan mencecah RM3 juta dan akan dimulakan sebaik sahaja peruntukan diperoleh.

Mengenai satu lagi tanah runtuh menyebabkan jalan Kundasang-Ranau terputus di Kilometer 96.7, Peter berkata, kerja baik pulih jalan itu sedang dilakukan dengan membersih serta mengalihkan tanah runtuh dan jalan alternatif sementara akan segera dibuat.

Katanya, ia diputuskan menerusi mesyuarat oleh semua pihak berwajib termasuk Jabatan Kerja Raya pagi hari ini disebabkan kepentingan jalan itu yang menjadi laluan darat utama ke daerah di timur Sabah.

Beliau berkata, kerja membersih dan mengalihkan tanah runtuh diikuti membina jalan alternatif sementara akan mengambil masa dua hingga tiga hari bergantung kepada cuaca dan kos pembaikan keseluruhan jalan berkenaan, dianggarkan mencecah RM25 juta.

Peter berkata, sejak semalam hingga hari ini, tiga laporan tanah runtuh membabitkan jalan raya diterima termasuk satu lagi kejadian di Membakut yang hanya membabitkan runtuhan lereng bukit.

Justeru, beliau menasihati pengguna jalan raya di negeri ini supaya berhati-hati ketika menggunakan jalan raya yang ada cerun bukit khususnya di Jalan Tamparuli ke Kundasang.

-myMetro

Tinggalkan komen anda