Bekas Naib Canselor UPSI bebas tuduhan salah guna kuasa


shadow

IPOH: Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa melepas dan membebaskan bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) daripada tuduhan menyalah guna kuasa berhubung lantikan jawatan anak lelakinya, lima tahun lalu.

Hakim S Indra Nehru membebaskan Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, 62, tanpa memanggilnya membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Indra berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mengambil kira semua keterangan saksi pendakwaan dan hujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Zakaria, dituduh menggunakan jawatan sebagai Naib Canselor UPSI bagi mengarahkan Pendaftar UPSI Faizi Othman memasukkan nama anak lelakinya, Mohd Fauzi Zakaria untuk dipanggil temu duga pada 12 September 2014.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik Pejabat Naib Cancelor UPSI di antara jam 9 pagi dan 12 tengah hari pada 24 Jun hingga 12 September 2014.

Dia didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan, Noor Hidayah Mohd Saad dan Mohd Khairul Fairuz Rahman.

Sepanjang prosiding kes, pihak pendakwaan telah memanggil 17 saksi memberi keterangan.

Pada 27 November 2018 lalu, Zakaria yang juga Pengerusi Mesyuarat Pengurusan Eksekutif UPSI mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyalah guna kuasa dengan melantik anak serta menantunya untuk dua jawatan di UPSI, pada 2014.

Bagaimanapun pada prosiding perbicaraan 20 Jun lalu, pihak pendakwaan telah meminda pertuduhan kepada satu pertuduhan sahaja.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda