Bapa saya bukan pembunuh, kata anak Najib


shadow

NOORYANA Najwa Najib menyifatkan dakwaan bahawa bapanya Najib Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu sebagai tidak benar.

Dalam satu hantaran di Instagram hari ini, Nooryana berkata bapanya bukan pembunuh dan dia menyalahkan pihak tertentu yang cuba menimbulkan fitnah tersebut.

“Bapa saya bukan seorang pembunuh. Saya baru saja menghabiskan masa dua jam untuk mendengar (bekas Presiden Amerika Syarikat) (Barack) Obama bercakap tentang keperluan pemimpin politik untuk menyedari bahawa ‘anda berada dalam kedudukan ini untuk buat kerja anda dan bekerja untuk rakyat.”

Terdahulu, Najib turut menafikan dakwaan bahawa beliau terlibat dalam pembunuhan Altantuya seperti yang didakwa oleh bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis Azilah Hadri.

Najib mempersoalkan kenapa dakwaan itu timbul sekarang.

Beliau menyifatkan tuduhan yang dibuat dalam akuan berkanun itu sebagai usaha Pakatan Harapan (PH) mengalihkan tumpuan rakyat daripada pelbagai kelemahan kerajaan.

“Ini semata-mata rekaan oleh mereka yang terdesak untuk mengelakkan diri daripada tali gantung.

“Kenapa maklumat ini tidak keluar sebelum ini, tetapi hanya sekarang selepas lebih satu dekad selepas kematiannya dan hanya selepas 19 bulan PH berkuasa?” tanya Najib, seperti dipetik Malaysiakini.

Najib mendakwa ada perjanjian antara kerajaan dengan Azilah, dengan janji yang melibatkan hukuman mati ke atasnya sebagai balasan – sama ada dimansuhkan atau ditangguhkan.

“Ini adalah percubaan untuk mengalih perhatian dan menyerang saya,” katanya.

Tinggalkan komen anda