Azrul Osman Rani dilantik CEO Petronas Dagangan Bhd


shadow

PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) melantik Azrul Osman Rani sebagai pengarah urusan (MD) dan ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 1 Januari 2020.

Ketika ini, Azrul merupakan ketua pembangunan komersial dan pembentukan usaha sama di Petronas Refinery & Petrochemical Corporation (PRPC) dan peranan kedua sebagai CEO PRPC Utilities & Facilities.

“Azrul memulakan kerjayanya di perniagaan runcit PDB sebelum di Malaysian International Trading Corporation Sdn Bhd (MITCO) untuk memasarkan pelbagai produk petrokimia untuk pasaran Indonesia.

“Beliau menunjukkan kemahiran kepimpinan yang kukuh kemudian membawanya menjadi antara pengurus negara termuda yang dilantik untuk menerajui beberapa unit dalam MITCO serta bahagian lain dalam Petronas Group,” menurut PDB dalam kenyataan hari ini.

Azrul, penerima biasiswa Petronas akan mengambil alih tugas daripada Syed Zainal Abidin Syed M Tahir, yang pertama kali dilantik sebagai naib presiden pemasaran dan perniagaan hiliran Petronas pada Julai 2017, dan seterusnya sebagai MD dan CEO pada Jun 2018.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Syed Zainal berharap Azrul yang mempunyai pengalaman 23 tahun dalam perniagaan minyak dan gas, boleh membawa PDB ke tahap pertumbuhan seterusnya.

“Azrul telah mempunyai kerjaya yang berperanan menjadi contoh di Petronas dalam segmen pemasaran dan komersial, daripada aktiviti perdagangan, penggabungan dan pengambilalihan, serta rundingan yang akan melengkapkan dinamik perniagaan,” katanya.

Tinggalkan komen anda