Azmin diarahkan hadir mesyuarat PKR petang ini


shadow

TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali diarahkan oleh kepimpinan parti untuk menghadiri mesyuarat lewat petang ini, kata sumber parti.

Mereka berkata arahan itu datang dari peringkat atasan, meminta Azmin hadir mesyuarat biro politik hari ini.

Mesyuarat jam 5.30 petang ini akan diadakan di pejabat Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen.

Azmin yang terus-terusan tidak hadir mesyuarat parti dipetik sebagai antara sebab ketegangan dalam parti berlaku antaranya dan presiden Anwar Ibrahim.

“Beliau diarahkan datang mesyuarat hari ini. Kita lihat nanti beliau datang atau tidak,” kata sumber.

Sementara itu, sumber lain berkata Anwar juga akan mengambil peluang jika Azmin datang, untuk mengadakan mesyuarat tertutup berasingan bagi meleraikan perbezaan mereka yang menyebabkan perpecahan dalam parti.

Sumber berkata hasil pertemuan tertutup itu akan menentukan sama ada kongres PKR “alternatif” yang dirancang penyokong Azmin, saingan kepada kongres nasional di Melaka, akan diteruskan atau tidak.

Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Baharuddin Mokshen bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight kongres “Kembali ke landasan reformasi” akan berlangsung seperti dijadualkan.

Beliau berkata kongres alternatif yang juga dijadualkan pada 7 dan 8 Disember, dijangka diadakan di Hotel Renaissance Kuala Lumpur.

PKR Sarawak secara amnya menyokong Azmin. Pada kiraan terkini, 19 dan 30 ketua bahagian, 32 daripada 46 ahli Majlis Pimpinan Negeri dan tujuh daripada sembilan perwakilan menyokong Azmin.

Tinggalkan komen anda