Arab gesa tindakan konkrit diambil akhiri pendudukan Israel


shadow

NEGARA Arab menyeru komuniti dunia mengambil tindakan yang konkrit untuk menamatkan pendudukan Israel di Palestin, memandangkan rejim Zionis itu berterusan mencabuli undang-undang antarabangsa.

Duta-duta Palestin, Arab Saudi dan Liga Arab di New Delhi berkata Israel perlu terus ditekan agar rejim itu akur dan tunduk untuk mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

“Melayan Israel sebagai negara yang berada di atas undang-undang akan hanya menggalakkan negara itu untuk terus melakukan keganasan.

“Masyarakat antarabangsa perlu segera menunaikan tanggungjawab untuk menamatkan pencerobohan Israel terhadap tanah, kewujudan dan masa depan kita,” kata Duta Palestin, Adnan Abu Alhaija dalam satu acara sempena Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin pada Rabu. 

“Sudah tiba masanya tindakan konkrit perlu diambil dan dilaksanakan untuk melindungi negara dan rakyat Palestin dengan memberi hak menentukan nasib sendiri, kebebasan dan kemerdekaan di tanah yang diduduki pada tahun 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” katanya.

“Bukankah sudah tiba masanya untuk menamatkan pendudukan tentera yang paling lama dalam sejarah kontemporari?,” soal Duta Palestin itu. 

Duta Arab Saudi ke India Saud Mohammed Al Sati turut mengecam keganasan Israel terhadap penduduk Palestin yang tinggal di Gaza, mengatakan antara Jun 2018 dan Mei 2019, tentera Israel membunuh 218 rakyat Palestin, termasuk 48 kanak-kanak dan mencederakan 22,483 orang.

Beliau menyelar pengiktirafan sepihak Amerika Syarikat (AS) yang menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan pengumuman AS baru-baru ini yang tidak lagi menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai penempatan haram. 

Utusan Liga Arab ke India Alyaa Ghannam berkata dasar AS mengenai penempatan Yahudi itu akan menjejaskan “proses perdamaian yang adil”. 

Katanya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pentadbiran AS dilihat membuat beberapa tindakan yang kononnya mencari keamanan tetapi mereka hanya menyerlahkan visi sayap pelampau Israel bagi memaksa penyelesaian sepihak dan menghalalkan pendudukan.

Tinggalkan komen anda