Apandi: AGC fail rayuan secara automatik


shadow

Jabatan Peguam Negara (AGC) hampir setiap kali akan memberitahu mahkamah bahawa mereka akan membuat rayuan selepas tewas dalam perbicaraan jenayah, kata bekas peguam negara, Mohd Apandi Ali.

“Ini dilakukan berdasarkan amalan sekian lama pendakwaan di negara ini agar 99 peratus pasti dapat menjamin sabitan sebelum menimbulkan pertuduhan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata proses itu “hampir automatik” sejak Abu Talib Othman menjadi peguam negara (1980-1993).

Pemberitahuan notis untuk rayuan akan dilakukan walaupun sebelum alasan penghakiman diberikan, katanya.

“Selepas memfailkan notis sedemikian, AGC biasanya akan mengkaji alasan penghakiman yang diberikan oleh hakim perbicaraan, dan kemudian memutuskan sama ada meneruskan atau tidak dengan rayuan itu,” katanya.

Beliau berkata ia adalah cara AGC untuk tidak bersifat politik dan memastikan sebarang pendakwaan didasarkan pada fakta dan undang-undang.

“Itulah sebabnya AGC mengguna pakai moto ‘bertekad menegakkan keadilan’ sejak 2016,” katanya.

Apandi dilantik sebagai peguam negara pada Julai 2015.

Apandi mengulas dakwaan Peguam Negara Tommy Thomas yang “terkejut” apabila AGC memfailkan notis rayuan dalam perbicaraan jenayah terhadap naib presiden PKR, Rafizi Ramli.

Thomas mendakwa bahawa dia telah mengarahkan AGC supaya tidak berbuat demikian sekiranya rayuan kes itu ditolak.

Februari lalu, Rafizi disabitkan oleh Mahkamah Tinggi dan dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana melanggar undang-undang kerahsiaan bank pada 2012. Abdul Gani Patail merupakan peguam negara ketika itu.

Hukuman berkenaan bagaimanapun diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 15 Nov.

Rafizi mendakwa dakwaan terhadapnya bermotif politik dan kerana peranannya mendedahkan skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) pada 2012.

Tinggalkan komen anda