Anwar gesa Kabinet bincang semula isu elaun kritikal


shadow

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim mahu Jemaah Menteri membincangkan semula keputusan kerajaan menghentikan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) kepada beberapa penjawat awam bagi lantikan bermula 1 Januari 2020.

Katanya, perkara itu wajar dibincangkan semula selepas ada rungutan dan bantahan daripada pelbagai pihak.

“Saya berpendapat perkara ini perlu dibincang semula oleh kerajaan dalam sidang Kabinet pertama pada tahun 2020.

“Kerajaan harus mengambil kira keresahan dan kebimbangan yang disuarakan rakyat,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut meminta semua menteri agar menggunakan ruang kabinet untuk menyuarakan pandangan mereka.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui pekeliling bertarikh 20 Disember mengumumkan penamatan BIKP kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain, yang menyertai sektor perkhidmatan awam bermula tahun depan.

Keputusan itu bagaimanapun tidak melibatkan mereka yang sudah menerima elaun tersebut, termasuk kakitangan kontrak yang diperbaharui kontraknya.

JPA dalam penjelasannya semalam berkata BIPK yang mula diperkenalkan di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1992 bukanlah skim kekal tetapi boleh ditarik balik, bergantung pada keadaan dan keperluan.

Menurut JPA, kajiannya menunjukkan semua 33 skim perkhidmatan yang diperuntukkan BIPK tidak lagi kritikal.

Keputusan itu bagaimanapun mendapatkan bantahan daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Bantahan itu semakin jadi perhatian umum apabila Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritiknya secara terbuka di Twitter.

Beliau menggesa elaun menteri Kabinet dipotong, dan bukannya elaun untuk kakitangan awam.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan mengkritik teguran terbuka Syed Saddiq yang dianggap melanggar konsep kebersamaan Kabinet atas keputusan kerajaan.

Katanya, menteri Kabinet tidak boleh cuba untuk jadi hero rakyat sehingga mempersoalkan keputusan kerajaan.

Sementara itu, semalam juga, Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad meminta kerajaan menjelaskan segera isu penamatan BKIP kepada wakil rakyat kerajaan.

Beliau juga meminta isu itu dibawa ke hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Belanjawan.

Tinggalkan komen anda