AmBank kata akan lawan habis-habisan saman Najib


shadow

Kumpulan AmBank berkata akan melawan habis-habisan saman oleh bekas perdana menteri Najib Razak terhadap syarikat tersebut.

Ini selepas didedahkan semalam bahawa Najib memfailkan saman terhadap AmBank dan bekas pengurus perhubungannya, Joanna Yu kerana menerima arahan daripada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Jho Low serta mendedahkan maklumat perbankan kepadanya.

Kumpulan AmBank berkata firma itu dan anak syarikat milik penuhnya AmBank Islamic Bhd menerima writ saman Najib pada 9 Disember.

“Kedua-dua AMMB dan AmBank Islam telah melantik peguam untuk melawan saman itu dan telah dinasihatkan oleh peguam bahawa tuduhan itu tidak mampan (not sustainable) dan AmBank Islamic serta syarikat itu mempunyai pembelaan yang kuat.Iklan

“AMMB dan AmBank Islamic akan melawan habis-habisan tindakan itu,” katanya dalam satu kenyataan bersama Bursa Malaysia semalam.

Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dipercayai menjadi dalang kepada penyelewengan dana 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd, yang sebahagiannya disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Najib, yang kini sedang menghadapi perbicaraan kes penyelewengan, kekal dengan pendiriannya bahawa wang tersebut merupakan “derma” dari keluarga diraja Arab Saudi, yang dikendalikan Jho Low.

Bagaimanapun, semasa perbicaraannya, Najib telah berkali-kali memberitahu bahawa beliau tidak mengarahkan AmBank menerima arahan daripada Jho Low mengenai perkara yang berkaitan dengan akaun banknya.

Bekas perdana menteri menuntut ganti rugi daripada AmBank dan Yu kerana didakwa bertindak demikian yang melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan serta Akta Bank dan Institusi- Institusi Kewangan 1989 (Bafia).

Najib kini menghadapi tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang berkaitan dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Wang itu didakwa diselewengkan daripada syarikat itu, sebelum berakhir di tiga akaun bank Najib dengan Ambank antara penghujung 2014 dan awal 2015.

Beliau juga menghadapi 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Tinggalkan komen anda