Ahli Parlimen perlu berdisiplin, kata presiden BN


shadow

KETUA pembangkang perlu mengingatkan ahli Parlimennya untuk tidak lagi memainkan isu sensitif seperti agama dan perkauman dalam Dewan Rakyat, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Peringatan itu susulan penggantungan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman selama dua hari kerana mengejek tanda dahi ahli Parlimen Jelutong RS N Rayer

“Saya mengingatkan ketua pembangkang perlu memberitahu ahli Parlimen pembangkang terutama Umno jangan lagi memainkan isu sensitif agama sekali pun.

“Kita harus menghormati semua agama,” katanya yang juga presiden Barisan Nasional (BN) kepada wakil media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, perang mulut antara ahli Parlimen dan pembangkang terhadap tanda dahi Rayer berakhir apabila speaker mengarahkan dua ahli Parlimen itu digantung dari Dewan Rakyat.

Speaker Mohamad Ariff Md Yusoff mengarahkan penggantungan itu kepada Tajuddin (Pasir Salak-BN) dan Khoo Poay Ting (Kota Melaka-PH) selepas mereka enggan mematuhi arahan kerana berhujah mengenai kesesuaian kenyataan Tajuddin.

Arahan itu merupakan kemuncak setelah dua jam perang mulut antara ahli Parlimen dan wakil rakyat selepas Tajuddin bersorak mengejek tanda dahi yang dipakai Rayer.

“Adakah itu abu Chin Peng?” soalnya sehingga membangkitkan kemarahan wakil rakyat dalam persidangan berkenaan.

Mengulas mengenai isu itu lagi, Zahid berkata penggantungan tersebut diterima baik oleh ahli Parlimen Pasir Salak.

Zahid berkata tidak perlu lagi memperbesarkan lagi isu tersebut kerana Tajuddin sudah menarik balik kenyataannya.

“Penggantungan itu diterima baik oleh Tajuddin dan saya fikirkan bukan hanya beliau tapi mana-mana ahli Parlimen sama ada pembangkang atau kerajaan harus mematuhi tata etika sebagai ahli Parlimen,” katanya. 

Tinggalkan komen anda