PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mengenai abu suci Hindu yang dikaitkan dengan abu mayat Chin Peng, dua hari selepas beliau meminta ketua pembangkang mendisiplinkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
Zahid berkata, beliau bersimpati dengan nasib Tajuddin yang tetap dikenakan tindakan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen walaupun telah memohon maaf.
Jelasnya, Tajuddin tidak bermaksud untuk menghina agama lain sebaliknya niatnya adalah untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak mengagung-agungkan abu mayat Chin Peng secara berlebih-lebihan.
“Kita bersimpati dengan ahli Parlimen Pasir Salak yang sudah memohon maaf di Dewan Rakyat, digantung kehadirannya, dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana masalah abu mayat Chin Peng.
“…beliau bukan berhasrat menghina mana-mana agama, tetapi ahli Parlimen katakan jangan dewa-dewakan abu mayat Chin Peng.
“Hakikatnya, Chin Peng adalah ketua pengganas yang membunuh rakyat,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno 2019 (PAU2019) di PWTC hari ini.
Sokongan Zahid ini berbeza dengan pendirian sebelum ini yang meminta supaya Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang tidak lagi memainkan isu sensitif seperti agama dan perkauman dalam Dewan Rakyat.
“Saya mengingatkan ketua pembangkang perlu memberitahu ahli Parlimen pembangkang terutama Umno jangan lagi memainkan isu sensitif agama sekali pun. Kita harus menghormati semua agama,” katanya.
Pada 3 Disember lalu, Tajuddin mengeluarkan kenyataan di Dewan Rakyat bertanya sama ada tanda dahi yang dipakai Ahli Parlimen Jelutong RS N Rayer ada kaitan dengan abu mayat Chin Peng yang dibawa balik ke Malaysia.
“Adakah itu abu Chin Peng?” tanyanya.
Soalannya itu mencetuskan perang mulut antara Tajuddin dengan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Ting sehingga memaksa Speaker mengarahkan mereka digantung dari Dewan Rakyat selama dua hari.
Walaupun telah digantung, kerajaan kemudiannya mengusul supaya Tajuddin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menghina agama Hindu.
Usul tersebut diluluskan tanpa bahas selepas ahli Parlimen bertikam lidah mempersoalkan keperluan ia dibahaskan.
Tinggalkan komen anda