KERAJAAN Samoa semalam mengesahkan dua lagi kematian akibat demam campak dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini seramai 62 orang sejak wabak itu mula dikesan pada pertengahan Oktober, lapor agensi berita Xinhua.
Kerajaan dalam satu kenyataan berkata Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 4,217 kes campak direkodkan oleh Pasukan Pengawasan Penyakit setakat ini, dengan 165 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Seramai 172 orang kini dimasukkan ke hospital.
Berikutan itu, darurat diisytiharkan di Samoa dengan semua sekolah ditutup dan perhimpunan awam adalah dilarang.
Pada Khamis dan Jumaat, sebahagian besar perkhidmatan awam dan semua jabatan kerajaan ditutup untuk membolehkan semua petugas membantu kempen vaksin yang sedang dijalankan.
Perintah berkurung turut diisytiharkan. Penduduk yang memerlukan vaksin diminta mengibarkan bendera atau kain merah di luar rumah mereka.
Di Samoa, kebanyakan kematian adalah kanak-kanak berumur di bawah empat tahun.
Tinggalkan komen anda