6 pertubuhan hadir majlis peringatan Perjanjian Damai Hatyai disahkan haram


shadow

KEMENTERIAN Dalam Negeri hari ini mengesahkan enam daripada sembilan pertubuhan yang dipercayai menghadiri majlis peringatan ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai di Kajang, Selangor awal bulan ini, merupakan pertubuhan haram.

Menterinya, Muhyiddin Yassin berkata pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu dan mendapati tiga pertubuhan sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Ya, itu laporan yang saya terima (bermakna) mereka tidak berdaftar. Mereka (enam pertubuhan itu) adalah pertubuhan yang haram, tiga (pertubuhan) sahaja yang berdaftar dengan RoS,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Bersatu Bahagian Pagoh di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pagoh, di Muar.

Muhyiddin berkata pihak polis kini sedang meneliti secara mendalam mengapa pertubuhan berkenaan menganjurkan majlis itu.

“Itu soal daftar, tak berdaftar, yang penting (untuk) kita ambil kira ialah kenapa mereka terlibat dalam aktiviti yang dikatakan ada kaitan dengan Chin Peng kah, komunis kah, apakah ini satu usaha untuk menunjukkan ada minat untuk membawa semula ideologi lama.

“(Hasil siasatan) akan diumum pada khalayak umum…apa hasilnya, dan kalau terbukti ia ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan semula (ideologi)…maka kita perlu ambil tindakan tegas,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

Muhyiddin, yang juga Adun Gambir itu juga berkata memandangkan Parti Komunis Malaya (PKM) sudah diharamkan, ideologi komunis sepatutnya tidak harus diwujudkan lagi di Malaysia.

“Kita ada sistem demokrasi berparlimen yang mana sejak 60 tahun sudah berjalan dengan baik, negara aman, kekal…maka jika ada langkah-langkah yang terpesong sedikit daripada sasaran yang ada, kita tidak boleh pandang ringan. Oleh itu, apa sahaja jenis kegiatan kita perlu pantau,” katanya.

Terdahulu, RoS dalam satu kenyataan hari ini berkata daripada sembilan pertubuhan yang dipercayai terlibat dalam majlis peringatan itu, hanya tiga dikenal pasti sebagai pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Sehubungan itu, RoS mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 66, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] supaya ahli jawatankuasa pertubuhan berkenaan hadir ke jabatan untuk memberi keterangan berkaitan penglibatan pertubuhan dalam majlis peringatan itu.

Sementara enam lagi pertubuhan yang turut dikenal pasti terlibat dalam majlis peringatan itu adalah pertubuhan yang tidak berdaftar dan disifatkan sebagai ‘Pertubuhan Yang Menyalahi Undang-Undang’ di bawah Seksyen 41(1)(b), Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan di bawah Seksyen 43 akta sama yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang didapati menjadi anggota sesuatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang adalah melakukan suatu kesalahan yang sekiranya disabitkan boleh dijatuhkan hukuman penjara.

Ketika ditanya sekiranya ada keperluan untuk mendedahkan nama enam pertubuhan haram itu, Muhyiddin berkata ia penting bagi memberi kesedaran kepada ahli dalam pertubuhan itu.

“Mungkin yang terlibat itu tidak sedar bahawa mereka terlibat dengan kegiatan sebegitu (tapi) kalau mereka datang daripada pertubuhan yang tidak berdaftar, sepatutnya mereka tidak boleh menjalankan apa-apa kegiatan. Itu melanggar undang-undang negara dan kita boleh ambil tindakan,” katanya.

Pada 1 Disember lepas, sebuah portal berita melaporkan satu perjumpaan dan perhimpunan dipercayai melibatkan bekas anggota PKM dianjurkan di Kajang, sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989. 

Tinggalkan komen anda